
GAGAL: Penyerang import Sarawak, Muamer Salibasic gagal menjaringkan gol dalam aksi menentang ATM malam kelmarin.
KUCHING: Sarawak menyingkap tirai Liga Super 2014 dengan langkah kiri apabila tewas 2-0 di pangkuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam perlawanan pertama di Stadium Selayang, Kuala Lumpur malam kelmarin.
Dalam perlawanan itu, Sarawak yang merupakan juara Liga Premier 2013 terpaksa akur dengan kekalahan di tangan ATM hasil jaringan Marlon Alex James pada minit ke-17 dan Cristie Jayaseelan minit ke-29.
Skuad kendalian Robert Alberts mempunyai beberapa peluang menjaringkan gol menerusi Milorad Janjus dan Muamer Salibasic namun gagal membuahkan hasil.
Usaha Sarawak mendahului perlawanan disentap dengan jaringan Marlon dan Cristie, selain kecederaan Salibasic pada minit ke-20 dan digantikan dengan Alireza Abbasfard.
Sarawak kemudiannya membawa masuk Junior Eldstal dan Akmal Rizal pada separuh masa kedua, namun kekebalan benteng pertahanan lawan menyebabkan skuad Ngap Sayot berputih mata.
Alberts ketika dihubungi semalam berkata, anak-anak buahnya mempunyai beberapa peluang keemasan untuk menjaringkan gol dalam perlawanan itu terutamanya pada separuh masa pertama.
“Kita berjaya mengimbangi perlawanan dan mempunyai banyak peluang terutamanya pada separuh masa pertama.
“Namun, ketumpulan jentera serangan menyebabkan kita hampa dan gagal menjaringkan sebarang gol,” ujarnya.
Menurutnya, kedua-dua jaringan ATM berpunca daripada kealpaan benteng pertahanan pasukan kita (Sarawak).
“ATM mempunyai pemain-pemain berkualiti, apabila benteng pertahanan melakukan kesilapan serangan mereka bijak menghidu peluang,” katanya.
Perlawanan seterusnya menyaksikan Sarawak bakal menanti kunjungan Pulau Pinang di Stadium Negeri Kuching pada 21 Januari ini pada saingan Piala FA 2014.
Sementara itu, pada 25 Januari nanti Sarawak akan berdepan dengan Kelantan juga di Stadium Negeri pada saingan Liga Super 2014.