Quantcast
Channel: Utusan Borneo – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228

Jangan ambil kesempatan

$
0
0

Tinjauan ke pasar basah di pekan Menggatal mendapati hanya sedikit ikan yang dijual.

Harapan masyarakat pada peniaga menjelang Tahun Baharu Cina

KOTA KINABALU: Masyarakat mengharapkan para peniaga tidak menaikkan harga barang basah seperti ikan dan sayuran secara mendadak ekoran keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang ini.

Lydia Tumin, 29, dari Keningau berkata, masyarakat dapat memahami sekiranya para peniaga terpaksa menaikkan harga barang keperluan ekoran daripada keadaan ekonomi negara pada masa kini.

“Bagi pihak pengguna, saya berharap para peniaga tidak menaikkan harga terlalu tinggi dengan mengambil kira pendapatan golongan miskin.

“Kita juga dapat memahami keadaan para peniaga seperti nelayan yang terpaksa turun ke laut pada musim hujan seperti ini,” katanya.

Bagaimanapun, Lydia berharap agar keadaan harga dapat dikembalikan kepada yang asal apabila cuaca semakin baik.

Johanes Ebin, 40, dari Kota Belud mengharapkan agar bukan hanya harga barang basah saja tidak dinaikkan secara mendadak, tetapi juga barang keperluan yang lain.

“Sebagai pengguna, saya berharap agar harga barang basah tidak dinaikkan secara sesuka hati oleh peniaga.

“Kalau boleh, janganlah naikkan harga secara mendadak sebab sekarang ini pun harga barang lain juga meningkat naik, hal ini membebankan masyarakat,” katanya.

Chrismia Christopher, 27, berkata, bagi mengelakkan harga barang basah naik secara mendadak, pihak kerajaan harus lebih kerap melakukan pemantauan di pasar-pasar basah.

“Pihak berkuasa perlu membuat tinjauan bagi mengelakkan para peniaga yang tidak bertanggungjawab menaikkan harga barang basah mengikut suka hati demi mengaut untung lebih.

“Sekiranya kurang kawalan daripada kerajaan, masyarakat akan terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi,” katanya.

Cyril Dason, 31, dari negeri Sarawak berharap agar para peniaga dapat memahami kenaikan harga barang boleh memberikan kesan kepada masyaarkat dan juga dalam sektor yang lain.

“Ada baiknya para peniaga mempertimbangkan faktor lain seperti kemanusiaan apabila mahu menaikkan harga barang.

“Sekarang ini banyak harga barang naik, oleh itu pertimbangan seperti ini perlu diambil kira,” katanya.

Sementara itu, Abel Felix, 27, dari Tamparuli berkata, para peniaga tidak dapat mengelakkan kenaikan harga barang basah kerana pelbagai faktor yang turut mempengaruhi keadaan ekonomi.

“Para peniaga tidak dapat mengelak daripada tidak menaikkan harga barang basah kerana kos perniagaan juga bertambah.

“Oleh itu, saya berpendapat pihak kerajaan harus campur tangan dalam hal seperti ini agar kenaikan harga barang basah tidak terlalu membebankan pengguna,” katanya.

Manakala Amielisa Luin yang berasal dari Beluran juga berharap agar para peniaga tidak menaikkan harga barang basah dan kering sesuka hati.

“Sekiranya diperhatikan, ada juga segelintir para peniaga yang menaikkan harga barang basah dan kering sesuka hati, walaupun pihak berkuasa menegaskan akan melakukan pemantauan,” katanya.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228