
PROJEK RMR: Dr Rauf ketika ditemui selepas lawatan ke tapak RMR di Kampung Petanak, Mukah petang semalam.
MUKAH: Usaha kerajaan meringankan beban rakyat dalam pembelian rumah akan terus dilaksanakan dengan menambah program perumahan seperti Rumah Mesra Rakyat (RMR), Rumah Mampu Milik (RMM) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR).
Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak (HDC) Datuk Dr Abang Abdul Rauf Abang Zen menjelaskan, program perumahan dirancang kerajaan adalah untuk membantu meringankan beban rakyat bagi golongan yang kurang berkemampuan.
Beliau memberitahu, permohonan untuk program RMR akan ditambah memandangkan ia sangat popular di kalangan rakyat terutama golongan yang kurang berkemampuan.
Katanya program perumahan yang dilaksanakan kerajaan tidak dikenakan apa-apa faedah dan satu pertiga kos bangunan ditanggung kerajaan.
“Program perumahan seperti ini merupakan usaha kerajaan meringankan beban rakyat yang kurang mampu, memandangkan kos rumah di pasaran sekarang agak tinggi.
“Justeru, kerajaan mengambil inisiatif melaksanakan banyak program perumahan seperti ini dan merupakan salah satu langkah untuk mengurangkan kos rumah di pasaran,” katanya ketika ditemui ketika melawat tapak projek RMR Skim Pembesaran Kampung Petanak, di sini semalam.
Dalam pada itu, dua projek bagi RMR di Mukah telah dilaksanakan iaitu di Skim Pembesaran Kampung Petanak dan Kampung Nelayan.
Projek RMR adalah untuk menghasilkan skim pembesaran dan penempatan semula kampung dengan rumah yang dibina dalam konsep terancang dan teratur lengkap dengan infrastruktur awam dan kemudahan asas seperti jalan raya, perparitan, air dan elektrik.
Skim Pembesaran Kampung Petanak merangkumi 17 lot kediaman dan 347 lot kediaman bagi Kampung Nelayan dengan infrastruktur dibangunkan oleh Jabatan Tanah dan Survei (JTS).
Tapak projek tersebut diserahkan kepada HDC untuk pelaksanaan program RMR.
Sementara itu, kos untuk RMR di Kampung Petanak berjumlah RM2,271,642 manakala Kampung Nelayan menelan kos RM7,678,144.