Quantcast
Channel: Utusan Borneo – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228

Siapa Presiden SUPP, debat tidak penting: Wong

$
0
0

Yang penting ketika ini ialah mencari jalan menyelamatkan parti daripada dibatalkan ROS

SIBU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat Dato Sri Wong Soon Koh menegaskan bahawa persoalan mengenai siapa Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan debat menerusi siaran media mengenai perkara berkenaan sudah tidak lagi penting.

Katanya apa yang menjadi keutamaan ketika ini ialah mencari jalan untuk menyelamatkan parti itu daripada pembatalan pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Wong ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat SUPP Cawangan Sibu di sini memberitahu, Jawatankuasa Pusat Parti telah menerima surat tunjuk sebab daripada ROS untuk menjelaskan mengapa parti itu tidak perlu dibatalkan pendaftarannya.

“Apa yang perlu diberi keutamaan ialah mencari jalan supaya SUPP tidak dibatalkan pendaftarannya oleh ROS.

“Saya juga menjangkakan tidak akan ada penganjuran Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) sebagai mana yang dicadangkan oleh sayap Pemuda dan Wanita parti,” ujar beliau.

Menurut Wong, ketika ini sudah agak terlambat untuk EGM diadakan dan pada masa yang sama ROS besar kemungkinan tidak akan membenarkan ia dilaksanakan.

“Sebab itu, sejak 2011 saya telah mencadangkan kepada Tan Sri Peter Chin untuk menyelesaikan segala masalah dan mengadakan pemilihan baharu.

“Namun, sehingga kini ia tidak dijalankan dan pada masa yang sama mungkin ROS telah memberikan masa yang panjang tetapi pihak berkenaan tidak bertindak,” katanya.

Wong turut menasihati agar pihak yang membuat aduan sehingga menyebabkan parti tersebut dibatalkan pendaftarannya tidak dipersalahkan.

Katanya orang yang bertanggungjawab dalam perkara itu ialah mereka yang melakukan perbuatan salah dengan melanggar perlembagaan parti pada pemilihan peringkat cawangan.

Perbuatan salah tersebut, jelas beliau, pernah dibawa kepada Jawatankuasa Pusat Parti namun tidak diendahkan.

Bercakap lanjut, Wong memberitahu bahawa terdapat segelintir pemimpin dan ketua masyarakat kaum Cina menyarankan agar parti baharu ditubuhkan sekiranya SUPP dibatalkan.

Ini bertujuan memastikan kaum Cina mempunyai wakil dalam kerajaan Barisan Nasional (BN).

Katanya parti baharu itu nanti tidak hanya mewakili kaum Cina sahaja tetapi masyarakat Bumiputera secara keseluruhannya.

Namun demikian, Wong menjelaskan bahawa beliau tetap berpegang kepada prinsipnya dengan tidak akan menyertai parti baharu itu.

Sebaik-baiknya ujar beliau, pemimpin lama termasuk mereka yang telah kalah pada pilihan raya lalu tidak harus terlibat.

“Biar pemimpin muda parti sahaja mengambil bahagian untuk menubuhkan dan membawa hala tuju parti baharu,” ujarnya.

Bagaimanapun, Wong bersetuju terlibat sekiranya diminta untuk memberi nasihat dan pandangan bagi membantu menubuhkan parti baharu nanti.

Jelas beliau, kehadirannya adalah untuk membimbing pemimpin baharu dan muda agar parti baharu itu memiliki kekuatan untuk memperjuangkan nasib rakyat.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>