Quantcast
Channel: Utusan Borneo – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228

Kuching akan lebih tersusun

$
0
0

MENARIK: Taib (tengah) diiringi Abang Johari, Jabu dan Morshidi melihat pelan Projek Pembangunan Darul Hana sempena pelancarannya, semalam. — Gambar Muhammad Rais Senusi

Darul Hana susun bandar raya agar miliki bentuk, ciri sesuai tunjuk kemakmuran rakyat

KUCHING: Projek Pembangunan Darul Hana telah dilancarkan semalam iaitu antara penyusunan semula bagi bandar raya ini supaya mempunyai satu bentuk dan ciri yang sesuai dalam menunjukkan kemakmuran rakyat dan kemajuan ekonominya.

Justeru, Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata kawasan Darul Hana tidak akan lagi menjadi sebuah tempat yang rendah standard sebaliknya menjadi simbol bagi kemajuan dan pembangunan Kuching.

“Saya yakin Darul Hana akan menjadi satu tempat yang menggambarkan bentuk hidup lama Melayu yang diperbaharui selain mencerminkan kesenangan dan kemajuan kita yang semakin bertambah.

“Malah, kawasan ini juga akan menjadi setanding dengan tempat-tempat lain di pusat bandar raya dan melahirkan satu masyarakat tebingan sungai yang terbaik di Malaysia,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Pembangunan Darul Hana di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu di sini.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Patinggi Alfred Jabu Numpang, Menteri Perumahan dan Menteri Pelancongan selaku menteri bertanggungjawab terhadap Projek Pembangunan Darul Hana Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Morshidi Abdul Ghani dan Speaker DUN Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.

Pembangunan Darul Hana iaitu transformasi ke arah kampung Melayu moden yang diilhamkan Taib sendiri adalah meliputi kawasan seluas lebih 700 ekar dan melibatkan 2,389 rumah, 3,647 keluarga dan 14,660 penduduk dari 12 perkampungan Melayu.

Kampung-kampung terlibat ialah Kampung Boyan, Kampung Gersik, Kampung Sourabaya Hulu, Kampung Sourabaya Hilir, Kampung Semarang, Kampung Pulo Hulu, Kampung Pulo Hilir, Kampung Bintawa Hulu, Kampung Bintawa Hilir, Kampung Bintawa Tengah, Kampung Panglima Seman Hulu dan Kampung Panglima Seman Hilir.

“Saya menamakannya sebagai Darul Hana yang bermaksud dalam bahasa Arab ialah kampung atau tempat yang aman dan harmoni.

“Ini kerana saya mahu membangunkan semula semangat yang disebut dalam bentuk kampung yang moden dengan menghidupkan semula budaya lama yang diamalkan oleh nenek moyang kita dalam kalangan generasi kita hari ini,” kata Taib.

Selain itu, beliau berkata kawasan yang terlibat dengan Darul Hana juga akan menjadi sebuah perkampungan moden yang lengkap dengan jalan raya, pangsapuri, pusat komersial, institusi kesihatan dan pendidikan serta pusat penyebaran dan pengembangan agama serta budaya.

“Ini bukan projek perumahan dan pembaharuan bandar sahaja tetapi ini adalah satu penyusunan semula bagi Kuching supaya ia mempunyai bentuk dan ciri yang sesuai sebagai bandar yang menunjukkan kemakmuran rakyat dan kemajuan ekonomi kita,” katanya.

Sehubungan itu, katanya pembinaan masjid telah menjadi sebahagian daripada Fasa 1 Darul Hana sehinggalah semua kampung yang terlibat berjaya ditransformasikan.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228