Kerjasama MARA, OISCA diharap wujud peluang perniagaan lebih luas
// Oleh Geryl Ogilvy //

KUKUH: Nanta (tengah) sambil diapit oleh Nakano dan Ibrahim (kiri) menunjukkan tanda perpaduan dan jalinan hubungan kukuh antara MARA dan OISCA.
KUCHING: Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Persatuan Kemajuan Perindustrian, Kerohanian dan Kebudayaan (OISCA) Jepun diberi mandat untuk meningkatkan lagi peranan dalam pembangunan keusahawanan khususnya di Sarawak.
Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi mencadangkan agar kerjasama pada masa hadapan antara dua institusi tersebut akan menjurus kepada program keusahawanan lain seperti inkubator perniagaan, lampiran dan latihan, perundingan penubuhan termasuk latihan peningkatan perniagaan serta lawatan industri sambil belajar.
Tegasnya, hubungan antara MARA dan OISCA juga mempunyai sejarah yang panjang iaitu selama 28 tahun sejak 1967 melalui program latihan industri di Jepun, di mana pelajar diberi peluang untuk dilatih menerusi latihan dan pengalaman ‘hands on’ di pelbagai organisasi industri terkemuka.
Selain itu, katanya, program latihan industri juga membolehkan pelajar memperoleh pengalaman, pengetahuan teknologi, etika kerja asimilasi Jepun, nilai serta kebudayaan.
“Saya yakin kerjasama yang terjalin ini berupaya melahirkan usahawan dengan gabungan dua budaya yang besar dan seterusnya menjadi kelebihan daya saing dalam dunia perniagaan.
“Pada masa sama, kami juga berharap melalui usaha kerjasama MARA-OISCA, kita boleh meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan perkongsian pintar sekali gus mewujudkan peluang perniagaan yang lebih luas dan sangat baik.
“Selain itu, rangkaian dalam bidang perdagangan, industri dan pertukaran teknologi berimpak tinggi dalam kalangan pemain usahawan dan industri,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam yang diadakan sempena Forum Perniagaan Antarabangsa MARA-OISCA 2015 Keempat di Hotel Pullman di sini, malam kelmarin.
Turut hadir ialah Naib Presiden Eksekutif Oisca Antarabangsa Toshihiro Nakano dan Naib Presiden OISCA Antarabangsa Malaysia Datuk Ibrahim Ahmad yang juga merupakan Ketua Pengarah MARA.
Nanta berkata, dengan keluasan 124,000 kilometer persegi, Sarawak meliputi hampir 37.7 peratus daripada keseluruhan tanah besar negara ini.
Jelasnya lagi, negeri ini juga kaya dengan sumber asli seperti petroleum, gas asli dan mineral serta produk pertanian dan hutan.
“Dengan lokasinya yang strategik, Sarawak muncul sebagai hab pelaburan yang menawarkan kelebihan kos kompetitif yang memberi keuntungan.
“Selain itu, Sarawak juga mempunyai alam semulajadi dan ekopelancongan tarikan yang luas, taman negara, rizab alam semula jadi, perlindungan hidupan liar dan juga kaya dengan sejarah dan warisan.
“Di samping itu, Sarawak memainkan peranan utama dalam sektor pertanian negara secara keseluruhannya, menghasilkan makanan untuk penggunaan dan tanaman tempatan untuk tujuan eksport,” ujarnya.
Sektor pertanian, perhutanan dan perikanan adalah antara enjin utama di negeri dengan keuntungan dalam kepelbagaian ekonomi yang dicatat pada tahun-tahun kebelakangan ini, jelasnya.
“Perindustrian di Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) menyediakan permintaan tinggi bagi input pertanian sebagai aktiviti pemprosesan makanan hiliran untuk berkembang.
“Malah, permintaan global yang kukuh, bersama-sama dengan usaha berterusan untuk memoden dan menjenterakan pemprosesan tanaman makanan seperti beras, produk segar dan rempah, juga perlu menyumbang kepada pertumbuhan mapan dalam sektor ini,” katanya.
Forum Perniagaan Antarabangsa MARA-OISCA 2015 Keempat diadakan untuk menggalak dan membangunkan usahawan tempatan melalui komitmen yang lebih kukuh agar terus berpaksikan kepada tema iaitu ‘Melabur ke arah Tenaga Lestari dan Industri Asas Tani.’
Menyentuh mengenai persidangan tiga hari yang berakhir semalam, Nanta berkata, rangkaian strategik ditawarkan melalui forum perniagaan tersebut akan mewujudkan platform bagi usahawan untuk meneroka pasaran baharu yang berpotensi dan seterusnya menjadi pemacu untuk menggalakkan entiti yang berdaya saing di pasaran tempatan dan global.