MIRI: Persatuan Wanita Desa Sarawak (WADESA) mahu kerajaan menerusi agensi serta kementerian berkaitan, pertubuhan wanita dan orang awam, supaya mengiktiraf peranan, tanggungjawab dan sumbangan wanita luar bandar negeri ini.
Presiden WADESA, Mariam Dom, berkata sehubungan itu, pihaknya amat mengharap agar kerajaan mengikritaf ‘Hari Wanita Desa Antarabangsa’ yang disambut di seluruh dunia, pada 15 Oktober, setiap tahun.
“Tetapi di negeri ini dan negara kita amnya, ‘Hari Wanita Desa Antarabangsa’ seolah-olah tidak wujud dan ramai tidak mengetahui mengenainya.
“Ia wajar dirai dan diiktiraf, bagi menunjuk kerajaan dan organisiasi khususnya berkaitan wanita menghargai dan mengiktiraf sumbangan serta peranan wanita desa,” katanya kepada pemberita pada sidang media di sini, semalam.
Mariam mendedahkan Hari Wanita Desa Antarabangsa, buat pertama kalinya diperkenalkan pada 15 Oktober 2008 oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Ia diraikan sebagai salah satu ‘hari rasmi’ PBB bagi mengiktiraf dan menghargai peranan yang dimainkan oleh wanita-wanita di desa atau luar bandar, khususnya wanita pribumi, dalam membangunkan luar bandar, meningkatkan taraf bidang pertanian, memperbaiki kawalan makanan dan mengurangkan jurang kemiskinan luar bandar di seluruh dunia, khususnya negara membangunan dan sedang membangun.
Tetapi di negara ini termasuk di Sarawak, menurut Mariam, hari berkenaan masih belum diterima dalam kalendar sambutan negara.
“Justeru kita mahu ia diiktiraf dan ditandakan dalam kalender aktiviti tahunan suoaya membantu kita mengenang serta menghargai jasa serta sumbangan wanita luar bandar negara ini,” jelasnya.
Bagi pihak WADESA sendiri katanya, mereka tampil dengan pelbagai aktiviti memberi manfaat kepada wanita luar bandar, sebagai salah satu satu acara kemuncak menjelang sambutan Hari Wanita Desa Sedunia.
“WADESA telah mengadakan seminar kesedaran berkenaan dengan hak wanita dan kawalan makanan.
“Tahun ini sempena sambutan tersebut kami telah mengadakan Seminar Hak-Hak Wanita Desa di Sarawak, bertempat di RABAK Adventure Centre di Sejangkang, Bau di sini, pada 10 Oktober lalu,” katanya.
Seramai 40 wanita kampung berhimpun di pusat berkenaan untuk menghadiri seminar dan meningkatkan kesedaran dalam hak mereka, serta membincangkan beberapa isu dan tindakan termasuk berkaitan sumber asli dan tanah.
Sementara itu, tema mereka pada tahun ini ialah ‘Tindakan Global 16 Hari Terhadap Wanita Desa’ (1 hingga 16 Oktober 2015) di bawah kempen-kempen berkaitan hak-hak wanita termasuk ke atas tanah dan sumber asli.