KUCHING: Tindakan wakil rakyat Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sibu mahu menyerah kertas cadangan Jalan Lingkaran Luar Sibu kepada Ketua Menteri dilihat sebagai usaha menarik perhatian rakyat demi kepentingan politik semata-mata.
Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh berkata, tindakan menghantar kertas cadangan itu pada Oktober dianggap sebagai ejekan kerana wakil rakyat sedia maklum tarikh tutup cadangan itu dimasuk ke dalam bajet tahunan Ogos lalu.
“Tarikh tutup bagi kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri adalah Ogos dan mereka mahu mengemuka cadangan itu sekarang, dua bulan kemudian.
“Ia jelas hanya menarik perhatian penduduk di Sibu demi kepentingan politik. Dan bagi saya, ia satu ejekan kerana mereka mahu mengemuka kertas cadangan sedangkan tarikh tutup dua bulan lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di ibu pejabat Parti Rakyat Bersatu (UPP) di Jalan Pending, di sini, semalam.
Beliau turut mengulas mengenai tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan David Wong, ADUN Dudong Yap Hoi Liong dan Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling yang diiringi Pengerusi DAP Negeri Chong Chieng Jen yang mahu berjumpa Ketua Menteri bagi mengemuka kertas cadangan itu.
Bagaimanapun, mereka tidak dapat masuk kerana tidak membuat temu janji awal bertemu Adenan, sebaliknya menyerah kertas cadangan itu kepada pegawai tadbir khas di Pejabat Ketua Menteri Azmi Bujang di hadapan pondok pengawal Wisma Bapa Malaysia untuk diserahkan kepada Ketua Menteri.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual untuk membentangkan Bajet 2016 pada 23 Oktober ini.
Wong juga Presiden UPP memberitahu, cadangan dikemuka wakil rakyat DAP itu ulangan cadangan yang beliau kemuka kepada kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11, dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Tanah dan Survei.
Menurutnya, ia merangkumi tujuh projek membina jalan baharu dan menaik taraf 33 jalan raya di Sibu.
Beliau turut mengemukakan cadangan membina empat jalan raya baharu dan menaik taraf 28 jalan raya dalam RMK-10 dan pada RMK-9, lima jalan raya baharu dan tiga jalan raya dicadang untuk dinaik taraf.
“Saya mengemukakan cadangan tersebut kepada kerajaan pusat mahupun kerajaan negeri dan saya dapat melihat mengapa ia tidak diluluskan kerana Sibu merupakan bandar DAP.
“Sejak 2006, DAP menawan separuh Sibu dan ketika itu hanya saya dan (Ahli Parlimen Lanang) Datuk Tiong (Thai King) sahaja wakil dari Barisan Nasional di Sibu .
“Manakala pada 2011, ia menjadi bandar DAP (hampir) sepenuhnya,” katanya.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai peruntukan kerusi pada pilihan raya negeri akan datang, Wong juga ADUN Bawang Assan berkata, mereka menyerah sepenuhnya perkara itu kepada budi bicara Adenan yang juga pengerusi BN Negeri.
“Kita serahkan kepada kebijaksanaan Ketua Menteri melakukan pembahagian kerusi.
Bagi UPP, kita perlu terus berusaha gigih di peringkat akar umbi.
“Ini termasuk melibatkan diri dengan rakyat serta menyedia perkhidmatan sebanyak mungkin dengan harapan pemimpin kawasan berkenaan diiktiraf BN sebagai calon boleh menang,” katanya.
Majlis turut menyaksikan Wong menyerahkan surat kelulusan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk menubuhkan UPP cawangan Samarahan kepada pengerusinya, Leong Wei Ping.
Cawangan itu merupakan cawangan UPP ke-27.