Acara Lumba Perahu Naga Antarabangsa diawalkan dan berakhir hari ini
Oleh Agnes Tugong //
KUCHING: Kehangatan Regata Sarawak tahun ini sudah dirasai oleh warga kota ini menerusi acara Lumba Perahu Naga Antarabangsa yang dimulakan lebih awal kelmarin (18 September) dan berakhir hari ini (20 September).
Terbahagi kepada empat kategori, sebanyak 17 pasukan antarabangsa mengambil bahagian dalam acara ini dengan 12 lagi pasukan tempatan bersaing bagi Lumba Perahu Naga Tempatan.
Pasukan antarabangsa terdiri Tokyo Dragons (Jepun), CLP Castle Peak Power Station DB Team (Hongkong), Chinese Taipei (Taiwan), Brunei Darussalam A dan B, Majlis Lumba Perahu Kg Lurong Dalam (Brunei Darussalam), Blue Pheonix Dragon Boat Club (Filipina) dan Philipines Titans.
Turut menyertai acara ini Dragon Riders (Singapura), Singapore Polytechnic, Kiyah Splashh dan Kapuas Hulu (Indonesia), Indonesia Sambas, Persatuan Perahu Naga Negeri Sabah, Penang Paddlez Club, Muda Agricultures Development Authority dan International Islamic University.
Semua 17 pasukan antarabangsa ini bersaing bagi kategori Terbuka Lelaki 12 Krew, Terbuka Lelaki 22 Krew, Terbuka Campuran 12 Krew dan Terbuka Campuran 22 Krew.
Pasukan tempatan bagi acara Lumba Perahu Naga Tempatan kategori Lelaki Terbuka 22 Krew pula dibarisi oleh PUSAKA, Sarkon Dragon Boat Club, ASAROZ Kota Samarahan dan GP Jang Sarawak.
Turut memberi saingan LANDAS, Land and Survey (Sarikei), The Federation of Chinese Youth Association Kuching Samarahan Team A dan B, UNIMAS A dan B serta Swinburne University Rowing Club A dan B.
Dalam pada itu, saingan bagi memburu gelaran Raja Sungai Sarawak akan bermula pada 25 hingga 27 September ini melibatkan 18 kategori perlumbaan.