Oleh Borhaniza Ali Basah//
SARIKEI: Kerjasama penduduk tempatan di sini amat diperlu dalam membantu Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) Cawangan Sarikei mengesan golongan asnaf serta memaklum kepada TBS supaya tindakan susulan dapat diambil.
Ketua Cawangan TBS Sarikei Ali Mat berkata kawasan di bawah bidang kuasa TBS Cawangan Sarikei amat luas iaitu meliputi kawasan bermula dari Pusa (Bahagian Betong) hingga ke Tanjung Manis (Bahagian Mukah).
Menurutnya, jumlah kakitangan terhad dan kawasan bidang kuasa agak luas adalah sukar bagi pihaknya pergi ke semua kawasan itu dalam masa singkat.
“Hari ini, banyak sangkaan buruk di dalam media sosial mengenai TBS yang tidak turun padang untuk mencari asnaf-asnaf yang layak mendapat bantuan daripada wang zakat.
“Ini adalah tidak benar. Kita menjalankan tanggungjawab dan kerja mencari serta mengenal pasti golongan ini kerana ia memang tugas kami. Namun kerjasama orang ramai amat diperlukan dalam membantu kami mengesan golongan asnaf ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan pada taklimat mengenai Sumbangan Zakat Pendapatan Melalui Potongan Gaji kepada anggota-anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Sarikei baru-baru ini.
Ali berkata, sebelum sesuatu bantuan diberikan kepada seseorang pemohon, TBS akan menjalankan siasatan terperinci terlebih dahulu untuk memastikan mereka adalah benar-benar layak.
Ini kerana TBS merupakan agensi yang dipertanggungjawab oleh kerajaan untuk mengutip dan mengagih wang zakat di Sarawak.
“Oleh itu kami perlu mengurus sumber kewangan yang diperolehi dengan baik dan mematuhi peraturan ditetapkan,” jelasnya.
Sementara itu, beliau berkata semua pekerja Islam termasuk dari sememanjung yang bekerja di Sarawak adalah diwajibkan untuk memberi sumbangan Sadaqatul Jariah kepada TBS seperti mana yang termaktub di bawah Seksyen 99(1) Ordinan Majlis Islam Sarawak (Pemerbadanan)(Pindaan 1984).
“Kadar ditetapkan sangat minimum antara RM1 hingga RM4 sebulan bergantung kepada gaji kakitangan berkenaan. Kaedah bayaran melalui potongan gaji dan kita ada formula kiraan dan ini adalah untuk memudahkan pembayar,”katanya.
Beliau berkata, pihaknya memohon kerjasama daripada para majikan untuk memastikan setiap kakitangan yang beragama Islam di tempat masing-masing membuat potongan gaji bagi sumbangan Sadaqatul Jariah.
Mereka yang ingin mendapat maklumat lanjut berhubung perkata tersebut, boleh datang terus ke mana-mana pejabat TBS berhampiran, tambahnya.