Quantcast
Channel: Utusan Borneo – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228

Lapan ‘samseng’ tangkap penduduk kampung dari Suai, dakwa curi sawit

$
0
0

MIRI: Sekumpulan lapan individu tidak dikenali bertindak menahan tiga penduduk rumah panjang dari Suai, Niah, kerana membawa keluar buah kelapa sawit menggunakan jalan milik syarikat perladangan berkenaan.

Tindakan lapan lelaki ber-kenaan yang didakwa oleh penduduk rumah panjang sebagai ‘samseng’ yang berkhidmat dengan syarikat perladangan kelapa sawit di tanah mereka telah menimbulkan kemarahan penduduk.

Wakil penduduk rumah panjang itu yang membuat laporan polis di sini semalam, Abang Ramba, 74, berkata, sejak awal tahun ini sahaja, sudah tiga kali syarikat perladangan terbabit menggunakan khidmat ‘samseng’ untuk menakutkan penduduk supaya akur dan tidak ‘mengganggu’ syarikat terbabit.

Menurut Abang, individu yang didakwa mereka samseng itu telah bertindak menahan kenderaan penduduk kampung yang membawa buah kelapa sawit melalui jalan ladang milik syarikat itu.

Keadaan lebih buruk apabila mereka menuduh penduduk kampung mencuri hasil komoditi ladang berkenaan hingga bertindak sendiri ‘menangkap’ penduduk kampung terbabit dan menyerahkan mereka kepada polis di Balai Polis Niah, di Batu Niah.

“Kelmarin, sekali lagi mereka tangkap tiga orang penduduk kampung tanpa sebab dan serahkan mereka ke Balai Polis di Niah kerana didakwa mencuri.

“Tindakan mereka itu telah menimbulkan kemarahan dan rasa tidak puas hati kami dan oleh yang demikian kami mahu campur tangan pihak atasan untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Katanya, kumpulan ‘samseng’ yang menahan ken-deraan penduduk itu, menggunakan kenderaan pacuan empat roda yang bercermin gelap dan mengancam akan bertindak kasar jika melawan kehendak mereka.

Sehubungan itu, menurut Abang, semua 37 keluarga pemilik tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) Senabu di Suai, Niah itu, meminta campur tangan pihak berkuasa supaya mengambil tindakan tegas terhadap syarikat perladangan yang menggunakan khidmat ‘samseng’ menghalang penduduk menuntut hak tanah mereka yang dirampas syarikat swasta itu.

Malah, penduduk rumah panjang itu mendakwa mereka sudah kehilangan hak tuntutan terhadap tanah itu sejak 18 tahun lalu, walaupun pernah tiga kali menang hak terhadap tuntutan termasuk pampasan bagi tanah tersebut.

Sejumlah 2,449 hektar tanah milik penduduk di situ diusahakan syarikat swasta terbabit dan sudah ditanam dengan kelapa sawit.

“Walaupun mahkamah sudah mengarahkan syarikat tersebut membayar pampasan tanah yang diceroboh kepada penduduk, namun sehingga kini mereka belum berbuat demikian.

“Malah, syarikat itu tidak mengendahkan desakan penduduk supaya membayar pampasan yang ditetapkan mahkamah,” tambah beliau lagi.

“Saya bimbang tanpa campur tangan segera daripada pihak atasan penduduk kampung hilang sabar dan bertindak membelakang undang-undang seperti yang berlaku di Ulu Niah, beberapa tahun lalu,” katanya lagi.

Utusan Borneo difahamkan penduduk kampung itu sudah menduduki kawasan berkenaan sejak penjajahan Inggeris dan buktinya masih disimpan penduduk sehingga sekarang.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>