BINTULU: Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) merupakan platform terbaik bagi belia untuk berkongsi idea dan pendapat berhubung pembangunan golongan tersebut di negeri ini, kata Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Elektrik dan Telekomunikasi) Datuk Dr Stephen Rundi Utom.
Katanya, walaupun negeri ini didiami rakyat pelbagai kaum yang datang dari latar belakang berbeza, namun SABERKAS telah menjalankan kerja mereka dengan baik sekali dalam menyatupadukan golongan belia di Sarawak.
“Inilah yang kita inginkan iaitu para belia yang bersatu serta saling berkongsi rasa dalam apa sahaja program anjuran mereka bagi melahirkan belia yang sihat dan cerdas serta berpandangan jauh,” ujarnya semasa berucap pada Majlis Makan Malam SABERKAS 2013 di sebuah hotel terkemuka di sini, malam kelmarin.
Jelasnya, SABERKAS yang merupakan salah sebuah pertubuhan pilihan utama belia di negeri ini wajar memperhebatkan pengisian program tahunan mereka bagi memastikan ia terus mendapat tempat di hati golongan belia.
Paling penting, katanya, para ahli jawatankuasa SABERKAS di setiap daerah atau bahagian harus lebih proaktif dalam mengadakan aktiviti anjuran mereka sesuai dengan cita rasa golongan belia masa kini dalam usaha menjadikannya sebuah pertubuhan yang selari dengan arus pemodenan.
“Pada masa sama, setiap ahli SABERKAS harus menerapkan unsur-unsur kepimpinan dalam setiap program anjuran mereka kerana belia masa sekarang merupakan pemangkin pentadbiran negara pada masa hadapan,” katanya.
Justeru, nilai-nilai kepimpinan harus dipraktikkan dalam SABERKAS agar menjadi panduan berguna buat anggotanya dalam membina sifat kepimpinan dan juga integriti yang tinggi.
Dr Rundi dalam ucapannya turut melahirkan rasa bangga dengan pencapaian cemerlang SABERKAS Bintulu dalam melaksanakan setiap program anjuran mereka selama ini.
Jelasnya, SABERKAS Bintulu sememangnya menjalankan setiap program mereka dengan penuh komited dalam memberikan yang terbaik buat belia di kawasan ini.
Turut hadir Pengerusi SABERKAS Bintulu Datuk Paul Teo Choo Tee dan Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Victor Temenggung Anggang.