SIBU: Seorang lelaki warganegara Filipina maut dalam kebakaran melibatkan sebuah bilik rumah tumpangan di Jalan Wong Nai Siong, pagi kelmarin.
Mangsa yang berusia 30-an dipercayai maut selepas lemas akibat terhidu asap tebal yang menyelubungi bilik penginapannya itu.
Dalam kejadian awal pagi itu, mangsa yang masih belum dikenal pasti identitinya dijumpai di bilik air rumah tumpangan terbabit.
Mangsa yang bekerja di sebuah kilang papan, difahamkan baharu tiba di sini dari Belaga pada Isnin lepas bersama dua rakannya.
Pada malam menjelang sambutan Krismas, mereka dikatakan telah pergi ke sebuah pusat hiburan di tingkat bawah rumah tumpangan itu untuk sesi minum.
Mangsa dan rakannya yang dipercayai mabuk, kemudian masuk ke bilik masing-masing pada kira-kira jam 2 pagi.
Pada kira-kira jam 6 pagi, rakan mangsa yang tinggal di bilik sebelah terhidu bau asap dari bilik mangsa. Kedua-dua mereka kemudian bertindak mengetuk pintu bilik mangsa, namun tidak mendapat balasan.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Sentral yang menerima panggilan kecemasan pada kira-kira jam 6.58 pagi, bergegas ke tempat kejadian dengan menggunakan dua jentera Scania serta 14 anggota.
Anggota bomba yang diketuai oleh PBKII Abang Kamalludin berjaya mengawal kebakaran pada jam 7.27 pagi. Turut sama dalam operasi ialah TPgB Mutalib Ja’afar.
Mangsa mengalami kecederaan terbakar di bahagian tangan dan leher. Mayat mangsa dihantar ke bilik mayat Hospital Sibu oleh pihak polis pada kira-kira jam 8.30 pagi.