KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam mengesahkan seorang pegawai tinggi polis bergelar ‘Datuk’ telah pun memberi keterangan, dipercayai berhubung kes pengubahan wang haram RM6 juta.
Pengarah Bahagian Siasatan SPRM Datuk Mustafa Ali berkata pegawai polis berkenaan memberi keterangan di Putrajaya, Selasa lepas.
“Sebenarnya pegawai polis yang kita panggil itu adalah untuk mengambil keterangan dia, rakam percakapan.
“Dia telah memberi kerjasama yang baik dan keterangan telah diambil. Tidak ada tangkapan dibuat,” katanya ketika ditemui pada sidang media Panel Penilaian Operasi (PPO) di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia di sini.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berkaitan kes itu serta dakwaan penemuan wang tunai di rumah pegawai polis berkenaan serta pegawai lain akan dipanggil untuk membantu siasatan.
Akhbar semalam melaporkan pegawai tinggi itu dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan SPRM terhadap tiga pegawai polis berhubung kegiatan pengubahan wang haram RM6 juta.
Akhbar itu juga, pada November lepas, melaporkan bahawa tiga pegawai terbabit yang masing-masing berpangkat Deputi Superintenden, AsistenSuperintenden serta Sarjan, ditahan berasingan dan ketika ditahan, SPRM turutmenemui wang tunai lebih setengah juta, tiga jam tangan berjenama Rolex selainsejumlah barang kemas.
Siasatan awal suruhanjaya itu mendapati kegiatan pengubahan wang haram ini membabitkan nilai jutaan ringgit.
Dua daripada pegawai yang ditahan bertugas di Johor manakala seorang lagi di Seremban, Negeri Sembilan.
Seorang daripada mereka disyaki terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram membabitkan jumlah RM1.7 juta manakala seorang lagi RM4.3 juta.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613) dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. — Bernama