
TAHNIAH: Azman (dua kiri) menyampaikan sijil kepada graduan GIATMARA pada Majlis Graduasi GIATMARA Stampin dan GIATMARA Santubong di Kuching, semalam. Turut kelihatan Pengurus GIATMARA Stampin Rosmahwaty Adenan (kiri). — Gambar Muhd Rais Sanusi
KUCHING: Ibu bapa perlu terus menyokong anak-anak mereka yang menceburi bidang teknikal merantau ke negeri atau tempat lain untuk mencari pekerjaan yang mendapat gaji lebih lumayan.
Pengarah GIATMARA Sarawak Azman Dollah berkata, kebanyakan ibu bapa kadangkala menghalang anak-anak mereka yang mahu merantau mencari pekerjaan.
“Bidang kemahiran adalah satu bidang yang sangat luas untuk mencari makan (pendapatan), diharapkan ibu bapa memberi sokongan kepada anak-anak kita yang menceburi bidang teknikal.
“Ini kerana akhir-akhir ini ibu bapa kadangkala antara penghalang utama kepada anak-anak mereka merantau untuk mencari pekerjaan,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Graduasi GIATMARA Stampin dan GIATMARA Santubong di sini, semalam.
Azman berkata, di negeri ini projek Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) memerlukan ramai modal insan dalam bidang kemahiran, di mana para graduan lepasan institusi kemahiran mendapat peluang.
Bagaimanapun ujarnya, graduan kemahiran khasnya daripada GIATMARA boleh menceburi bidang pekerjaan lebih mencabar di negeri lain, termasuk projek rapid di Johor dengan memerlukan seramai 25,000 orang tenaga mahir dan separa mahir dalam bidang kimpalan.
“Jika dikira dari segi pendapatan, saya telah berjumpa sendiri dengan ketua Kelab Usahawan GIATMARA Negeri Sembilan, beliau kini berpendapatan tidak kurang daripada setengah juta ringgit (RM500,000) setahun.
“Saya merasakan tidak mustahil kepada anak-anak semua di sini untuk berjaya dengan ilmu kemahiran dan kerajaan sanggup mengeluarkan jutaan ringgit bagi membiayai kolej mahupun institusi kemahiran,” katanya sambil memberitahu kerana kerajaan sedar bahawa modal insan dalam bidang kemahiran sangat penting.
Azman menjelaskan, GIATMARA juga berperanan bukan sahaja memberi kemahiran kepada para pelatih bahkan j peluang kepada mereka selepas tamat pengajian.
Antaranya melalui projek membina rumah di kampung atau pedalaman, yang mana GIATMARA akan memberi keutamaan kepada bekas pelajarnya termasuk untuk membekalkan bahan binaan.
Sehubungan itu, beliau menyeru kepada bekas pelajar GIATMARA supaya terus menghubungi pusat GIATMARA di mana mereka masing-masing bagi memudahkan pihak institusi memberi bantuan atau mengetahui di mana mereka berada.
Sementara itu, semalam seramai 150 pelatih GIATMARA menerima sijil (enam bulan) dan sijil tamat latihan (12 bulan) terdiri daripada sembilan kursus yang ditawarkan.
Daripada 150 penerima, 94 graduan GIATMARA Stampin dan 56 graduan GIATMARA Santubong, yang mana GIATMARA Stampin menyediakan lima kursus dan GIATMARA Santubong empat kursus.