Quantcast
Channel: Utusan Borneo – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228

ESSCOM dan EZZONE mantapkan keselamatan negeri Sabah: Musa

$
0
0

KOTA KINABALU: Pewujudan Kawasan Khas Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan Kawasan Keselamatan Timur Sabah (EZZONE) memantapkan lagi keselamatan sekali gus keyakinan kepada pelancong dan pelabur dalam usaha menjana pertumbuhan dan peningkatan ekonomi negeri ini.

Menegaskan demikian, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pasukan keselamatan yang berkhidmat penuh tanggungjawab dan dedikasi bagi mengekalkan keamanan dan ketenteraman di negeri ini.

Pembentukan Esscom diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 7 Mac lalu yang merangkumi kawasan pantai timur negeri itu termasuk Kudat, Tawau, Kunak, Sandakan dan Lahad Datu, sepanjang 1,400 kilometer susulan pencerobohan kumpulan pengganas Sulu di Kampung Tandou, Lahad Datu.

Musa yang juga pengerusi Jawatankuasa Keselamatan negeri meminta rakyat agar jangan terpedaya dengan tindakan pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menganggu-gugat kemakmuran dan keharmonian yang dibina dalam negara kepelbagaian kaum ini.

“Sehubungan itu, saya menyeru kepada seluruh warga Malaysia khususnya di Sabah untuk terus menjaga dan memelihara keamanan dan keharmonian ini demi manfaat dan kesejahteraan kita dan generasi yang akan datang,” katanya semalam dalam perutusan sempena sambutan perayaan Krismas di sini.

Meskipun negeri di Bawah Bayu ini mempunyai lebih daripada 32 suku kaum dan etnik, namun katanya, rakyat Sabah tetap bersatu, saling mempercayai dan menghormati antara satu sama lain.

Beliau berkata semangat sebegitu harus dipupuk dan dihayati bagi mengemudi Sabah menjadi negeri yang lebih maju dan berdaya saing pada masa depan.

“Suka saya mengingatkan bahawa keamanan dan keharmonian yang kita nikmat hari ini bukan sesuatu yang mudah untuk dicapai. Kepentingan setiap rakyat Malaysia perlu dijaga dan kita mesti menghormati antara satu sama lain walaupun dengan kepercayaan, budaya dan tradisi yang berbeza,” katanya.

Musa turut berbangga dengan penyertaan golongan korporat, individu berkemampuan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang menghulurkan bantuan kepada mereka yang kurang bernasib baik sempena perayaan ini. — Bernama


Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>