
RAI KEMENANGAN: Pemain Limbang meraikan kejayaan merangkul juara Kejohanan Bola Sepak Piala ISUZU-FAS Bawah 19 Tahun Sarawak 2013 di Kuching pada malam Sabtu lalu.
KUCHING: Kejayaan merangkul mahkota kejuaraan Kejohanan Bola Sepak Piala ISUZU-FAS Bawah 19 Tahun Sarawak 2013 merupakan langkah permulaan kepada era kecemerlangan pembangunan bola sepak di Limbang.
Penolong Jurulatih Limbang Hanapi Majini berkata, pihaknya akan terus berusaha untuk menggembangkan bakat pemain-pemain terbabit agar mampu mewakili Sarawak dan Malaysia pada masa depan.
“Saya percaya pemain muda berbakat yang kami miliki mempunyai kemampuan tersendiri untuk diserap ke dalam pasukan Sarawak dan Malaysia nanti. “Mereka amat komited dan mempunyai semangat tinggi, tambahan lagi selepas menjuarai kejohanan besar,” katanya.
Menurutnya, antara pemain utama Limbang yang mempunyai potensi cerah termasuk Eric Lanjap, Mohd Alif Hassan dan Alex Maxwell.
Pengurus Pasukan Limbang, Abdul Ajis Kon pula berpendapat kejayaan yang diraih pasukannya memang berbaloi selepas pemain mengharungi perjalanan jauh untuk menyertai kejohanan tersebut.
Tambahnya, pihaknya hanya menetapkan sasaran untuk layak ke separuh akhir sahaja namun kejayaan merangkul juara merupakan satu kebanggaan. “Kerja keras semua pemain selama ini terbalas dengan kejayaan merangkul juara.
“Pada edisi akan datang kami memikul tugas berat terutamanya untuk mempertahankan kejuaraan,” katanya. Limbang sebenarnya sudah menghasilkan pemain bintang iaitu Ashri Chuchu yang merupakan kebangsaan Sarawak dan Malaysia.
Pemain kelahiran Lawas itu juga mewakili Malaysia pada temasya Sukan SEA di Myanmar tahun ini.