
TANDA INGATAN: Iskandar (kanan) menerima jersi FTSD daripada Azman (kiri) pada majlis penyampaian sumbangan di pejabat KH Communication, Kuching semalam.
Berperanan memberi pendedahan kepada golongan muda mengenai sukan bola sepak
KUCHING: Penubuhan akademi bola sepak ‘First Touch Soccer Development’ (FTSD) merupakan cetusan idea bagi mengutamakan serta menggalakkan pembangunan sukan tersebut di negeri ini.
Pengarah Urusan KH Communication Sdn Bhd, Iskandar Sharkawi berkata FTSD turut berperanan memberi pendedahan kepada golongan muda mengenai sukan bola sepak di samping menyertai aktiviti riadah sihat dan menerima pengetahuan yang lebih menyeluruh mengenai sukan tersebut.
“Senario sukan bola sepak sekarang adalah berbeza jika dibandingkan dengan sebelum ini, di mana FTSD mampu menjadi tapak sebagai peluang kepada golongan muda memahami konsep bola sepak dengan lebih mendalam selain belajar mengenai teknik dan kemahiran,” katanya pada majlis penyampaian sumbangan kepada FTSD di pejabatnya di Pusat Komersil Tabuan Jaya, di sini semalam.
KH Communication merupakan rakan rasmi FTSD dan berazam untuk menyokong usaha jangka masa panjang akademi sebagai program komuniti di samping melahirkan bakat-bakat baharu dalam arena bola sepak tempatan.
“FTSD juga mampu mendidik para pesertanya mengenai asas permainan bola sepak secara betul di samping menyediakan peralatan serta padang yang kini merupakan kemudahan yang agak sukar untuk dinikmati,” ujarnya sambil mengumumkan pelancaran rasmi FTSD akan diadakan pada 28 Disember ini di SMK Petra Jaya.
FTSD dibimbing oleh ketua jurulatih, Sulaiman Mustanir yang merupakan bekas pemain negeri era Ngap Sayot yang juga bekas jurulatih skuad Piala Presiden Sarawak.
Latihan diadakan pada setiap pagi Ahad bermula jam 8 pagi di SMK Petra Jaya dan ia adalah terbuka kepada kanak-kanak berumur enam tahun ke atas dan setiap peserta akan diken-akan bayaran sebanyak RM50 sebulan.
Pada masa sama, Pengarah FTSD Azman Mohamed Edi berkata objektif akademi itu ditubuhkan adalah untuk menaik taraf mutu sukan bola sepak tempatan ke tahap lebih berkualiti bermula dari peringkat awal umur kanak-kanak. “Akademi ini ditubuhkan bertujuan mencungkil bakat-bakat muda menerusi pendedahan secara berperingkat-peringkat serta pendidikan mengenai sukan bola sepak.
“Elemen-elemen asas yang diterapkan di dalam modul latihan dan pembelajaran adalah merangkumi sains sukan, kecergasan, nutrisi pemakanan, teknik dan kemahiran, ketahanan mental serta kaedah pencegahan kecederaan,” jelas Azman.
Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) Datu Sudarsono Osman ketika dihubungi mengucapkan tahniah kepada pihak pengurusan FTSD atas inisiatif membangunkan sukan bola sepak bermula dari peringkat awal umur kanak-kanak dalam usaha meningkatkan mutu sukan tersebut.
“Saya memuji usaha FTSD kerana mengambil inisiatif membangunkan akademi bola sepak bermula dari peringkat awal umur kanak-kanak dan saya berharap lebih ramai pihak akan tampil menyokong usaha ini. “Di samping itu, saya ingin mengucapkan tahniah dan berdoa agar FTSD berjaya melahirkan pemain-pemain bola sepak yang berkaliber dan berkemahiran tinggi bagi meningkatkan mutu sukan bola sepak di negeri ini,” ujar Sudarsono.
Untuk mendaftar atau mengetahui lebih lanjut mengenai akademi bola sepak ‘First Touch Soccer Development’ (FTSD) sila hubungi Azman Mohamed Edi di talian 013-5722000.