KUCHING: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) meminta Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan termasuk kerajaan negeri menyalurkan lebih banyak peruntukan bagi merancakkan sektor pelancongan di kawasan itu.
Pengerusinya Lo Khere Chiang berkata, di bawah MPP terdapat banyak kawasan tarikan pelancongan yang memerlukan peruntukan untuk dinaik taraf dan dimajukan.
“Kita mempunyai pelbagai lokasi tarikan pelancongan yang perlu dipertingkatkan dari segi prasarana termasuk sistem perhubungan yang baik untuk memudahkan pelancong datang ke sini.
“Oleh itu, kita di MPP amat mengharapkan agar KPB dan kerajaan negeri menyediakan peruntukan yang mencukupi untuk kita membangun dan memajukan kawasan-kawasan berpotensi dalam sektor pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Sukaneka Rakyat dan Pra-Krismas anjuran MPP bersama komuniti Kampung Braang, Bayur, Padawan dekat sini kelmarin.
Malah, Lo memberitahu bahawa kebanyakan kampung di bawah pentadbirannya juga berpotensi untuk dijadikan lokasi inap desa yang mempunyai keunikan kebudayaan dan latar belakang masyarakat yang berbilang kaum di negeri ini.
“Tempat-tempat seperti ini yang kita mahu majukan yang bukan sahaja dapat membangunan sektor pelancongan tetapi meningkatkan ekonomi masyarakat setempat,” tambahnya.
Terdahulu dalam ucapannya beliau berkata, MPP akan berusaha mencari peruntukan untuk meningkatkan infrastruktur dan kemudahan bagi kampung-kampung di kawasan pentadbirannya.
“Saya dimaklumkan Kampung Braang kurang lampu jalan dan beberapa jalan agak gelap, saya akan cuba mencari dana bagi menambah lampu jalan di kampung ini termasuk menambah baik siling gereja di sini,” katanya.
Pada masa sama, beliau meminta masyarakat setempat terlibat aktif dalam setiap aktiviti yang dianjurkan oleh MPP supaya dapat memahami fungsi dan peranan MPP terhadap kebajikan mereka.
“Saya mahu setiap masyarakat terlibat sama dalam menjayakan visi dan misi MPP Bersih, Hijau, Cekap dan Makmur,” ujarnya.