Quantcast
Channel: Utusan Borneo – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228

PEMANDU desak ke arah perubahan lebih radikal

$
0
0

PUTRAJAYA: Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) Jabatan Perdana Menteri akan mendesak ke arah perubahan lebih radikal dalam usaha memerangi rasuah di Malaysia di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Membanteras Rasuah.

Pengarah NKRA Anti Rasuah PEMANDU, Ravindran Devagunam berkata PEMANDU mengakui keputusan 2013 Global Corruption Barometer (GCB) yang dikeluarkan oleh Transparency International dan menjadikannya sebagai dorongan untuk terus mendesak ke arah lebih banyak pembaharuan.

“Tinjauan umum itu jelas menunjukkan masih banyak yang kita perlu lakukan.

Kita perlu menggandakan usaha dan terus mendesak ke arah penambahbaikan merangkumi bidang sosial, politik dan perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Tinjauan umum GCB yang dijalankan di lebih 100 negara mendapati lebih separuh penduduk yang ditinjau di seluruh dunia percaya kegiatan rasuah semakin buruk sejak dua tahun lepas.

Sampel kaji selidik di setiap negara melibatkan kira-kira 1,000 penduduk dan menyimpulkan pengagregatan data dengan gender, pendapatan, kumpulan umur, penduduk bandar atau luar bandar.

Dalam kaji selidik GCB yang dikeluarkan kelmarin, 87 peratus rakyat Malaysia bersetuju bahawa orang kebanyakan boleh membawa perubahan dalam usaha memerangi rasuah.

Ravindran berkata kaji selidik itu menunjukkan jumlah peratusan memberangsangkan orang ramai yang sedia bekerjasama dalam membasmi rasuah.

“Dengan pakatan kukuh dan penglibatan yang sewajarnya, kita akan mampu mewujudkan desakan awam agar berlaku perubahan yang sangat diperlukan itu.

“Kami kini mempertingkatkan usaha untuk berbincang dengan beberapa NGO dan badan profesional dan kami telahpun mula membentuk kerjasama dengan kementerian dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memantau perbelanjaan dan tadbir urus yang baik,” katanya.

Sementara itu, Ravindran berkata rangka kerja Pembiayaan Kewangan Pembasmian Rasuah NKRA akan melaksanakan peranan lebih besar dalam menangani isu rasuah politik susulan keputusan GCB yang mengenal pasti parti politik dan pegawai awam termasuk ahli Parlimen sebagai golongan paling ramai terlibat dalam rasuah.

“Pindaan akan dibuat kepada Akta Pertubuhan 1966 dengan matlamat mengelak ketirisan dana dalaman di kalangan parti politik. Pendaftar Pertubuhan akan membuat pindaan itu menjelang hujung tahun bagi meningkatkan ketelusan dalam cara dana politik diuruskan,” katanya.

Selain anggota Kabinet yang pada masa ini dikehendaki mengisytihar harta mereka kepada perdana menteri dan SPRM, Ravindran berkata Pegawai Khas Menteri akan mengisytiharkan harta mereka kepada menteri masing-masing selain kepada SPRM mulai tahun ini.

“Dengan berbuat demikian, kami berharap dapat mengelak daripada wujudnya salah laku bukan hanya kepada anggota Kabinet tetapi juga orang yang bekerja dengan mereka,” katanya.

Untuk meningkatkan ketelusan dan kebertanggungjawaban kementerian, Ravindran berkata Laporan Audit Prestasi Ketua Audit Negara akan dibentangkan pada setiap persidangan Parlimen dan bukan hanya setahun sekali.

“Akses yang lebih baik kepada laporan itu dan pelbagai tindakan yang diambil oleh setiap kementerian akan disediakan dalam talian. Kami harap Laporan Audit Prestasi ini akan dibentangkan sama ada pada persidangan Parlimen sekarang ini atau sekurang-kurangnya, persidangan akan datang,” katanya.

Bagi menangani rasuah dalam sektor swasta, Ravindran berkata Ikrar Integriti Korporat yang dilancarkan pada 2011 mula membuahkan hasil tahun ini berikutan penahanan beberapa tokoh korporat termasuk seorang penimbang tara kanan dan seorang petugas Petronas.

Beliau berkata inisiatif itu akan turut diperkukuhkan dengan pindaan Akta SPRM untuk memasukkan peruntukan berkaitan Liabiliti Korporat.

“Ini akan memastikan pihak perbadanan memikul tanggungjawab berhubung tindakan rasuah yang dilakukan oleh pekerja bagi pihak syarikat,” katanya. — Bernama


Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>