MIRI: Pasukan IMJ muncul juara keseluruhan Kejohanan Futsal Terbuka 2013 selepas menang tipis ke atas Lega Lego pada perlawanan akhir kelmarin.
Dengan kejuaraan itu, pasukan IMJ membawa pulang hadiah wang tunai sejumlah RM1,000 berserta piala dan medal.
Bagi naib juara, Lega Lego tidak pulang dengan tangan kosong apabila menerima RM500, piala dan medal manakala MMEA 13 di tempat ketiga menerima RM300, berserta piala dan medal.
Jurucakap penganjur, Lee Joon Siong berkata pertandingan yang berlangsung selama empat hari itu di Stadium Tertutup disertai sebanyak 56 pasukan.
Majlis ringkas penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan sendiri oleh beliau sebaik sahaja tamat perlawanan akhir kejohanan terbabit.
Sementara itu, City Sport Miri juga akan menganjurkan Futsal Ambang 2013/2014 yang dijadualkan berlangsung pada 28 Disember hingga 1 Januari 2014.
Kejohanan itu akan berlangsung di Stadium Tertutup Miri dan terbuka kepada semua pasukan futsal tempatan dan luar Miri.
Sebanyak dua kategori dipertandingkan iaitu kategori lelaki dan wanita, manakala yuran penyertaan bagi setiap pasukan yang berminat ialah RM130.
Borang penyertaan boleh didapati di Kedai Sukan City Sport Miri atau untuk keterangan lanjut pasukan boleh menghubungi Lee di talian 012-8041199.