KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawa Christina Chiew dari Parti Tindakan Demokraktik (DAP) terkejut selepas dimaklumkan bahawa gambar beliau telah digunakan dalam risalah seorang ‘Tok Guru’ yang kononnya dapat meramalkan keputusan loteri.
Menurutnya, risalah tersebut diedarkan di bandar asalnya, iaitu Sibu dan saudara-maranya yang turut menerima risalah berkenaan pada Jumaat lalu segera memaklumkannya dan bertanya mengenai hubungannya dengan orang yang dipanggil ‘Tok Guru’ itu.
“Sekumpulan individu mengedar risalah berkenaan di kawasan bandar Sibu.
Secara kebetulan, saudara-mara saya ada di sana dan mereka telah diberikan risalah tersebut dan ibu bapa saya bertanya kenapa wajah saya terpampang pada risalah itu.
“Saya tidak mengenali langsung ‘Tok Guru’ itu dan saya tidak pernah pun membeli tiket Toto, Magnum 4D atau sebarang jenis loteri.
“Malah, saya tidak menggalakkan perjudian atau bersetuju untuk meletakkan gambar saya pada risalah sedemikian,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat DAP di sini, semalam.
Chiew yang juga ahli Jawatankuasa Kerja DAP Sarawak berkata, beliau sudah membuat laporan di Balai Polis Bandar Baru Batu Kawa kelmarin dan berharap polis akan menjalankan siasatan mereka dengan cekap serta berkesan.
Mengesyaki perkara itu adalah satu penipuan, beliau menasihati orang ramai agar berhati- hati apabila mereka menjumpai risalah sedemikian.
Chiew menegaskan, beliau cuba menyiasat identiti ‘Tok Guru’ terbabit yang mendakwa dirinya seorang warga Thailand, tetapi mendapati pertuturan individu berkenaan seolah- olah penduduk tempatan apabila beliau menghubungi nombor telefon yang tertera pada risalah itu.
“Saya berpura-pura menjadi seorang pemanggil yang berminat, tetapi apabila individu di hujung talian bercakap, percakapannya macam orang tempatan,” katanya.
Berdasarkan maklumat pada risalah itu, ‘Tok Guru’ terbabit dikatakan berasal dari Sik, Kedah.
Risalah individu yang mendakwa dirinya dapat meramalkan keputusan loteri itu dipercayai turut diedarkan di Kuching.