KUCHING: Penduduk yang enggan berpindah ke Skim Penempatan Semula Bengoh (BRS) dimohon untuk memikirkan semula keputusan itu demi kehidupan lebih baik bukan sahaja untuk diri mereka, malah generasi akan datang.
Menteri Muda Kesihatan Awam Datuk Dr Jerip Susil berkata, sebanyak 90 buah keluarga dikenal pasti yang tidak mahu berpindah ke BRS meskipun akan terjejas akibat projek pembinaan Empangan Bengoh, di mana 35 daripada jumlah itu adalah dari Kampung Taba Sait, Kampung Pain Bojong (21) dan Kampung Rejoi (34).
“Mereka yang sudi berpindah faham bahawa ini adalah langkah terbaik untuk keluar dari kepompong kemiskinan. Bagi mereka yang enggan berpindah, saya harap mereka akan menukar fikiran dengan berpindah pada masa akan datang.
“Ini adalah niat murni kerajaan untuk membantu agar mereka menjalani kehidupan yang lebih baik lengkap dengan kemudahan asas,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mesra Rakyat (RMR) BRS di Jalan Puncak Borneo, Padawan, dekat sini.
Hadir untuk menyempurnakan majlis, Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.
Sebanyak 204 unit rumah konkrit atas tiang yang mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air di BRS yang menelan kos lebih RM19 juta boleh mula diduduki bermula 5 Disember lalu.
Setakat ini, seramai 52 keluarga yang telah berpindah dan memulakan hidup baru di BRS.
Dr Jerip yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bengoh berkata, selain disediakan dengan rumah lebih selesa, penempatan baharu itu turut dilengkapi kemudahan-kemudahan asas yang akan menjamin kehidupan lebih baik dan terjamin.
Menurutnya, kerajaan juga akan terus menambah baik kemudahan dan infrastruktur di kawasan penempatan itu.
Beliau pada masa saya turut menyeru mereka yang enggan berpindah untuk tidak terpengaruh dengan mana-mana individu yang cuba menggagalkan usaha kerajaan membawa pembangunan.
Katanya, rakyat harus bijak menilai sendiri tanpa mudah diperdaya pihak khususnya pembangkang yang hanya mempolitikkan banyak isu untuk memburukkan nama baik kerajaan.
Beliau turut menerima maklumat mereka terbabit enggan berpindah kerana tidak dibayar premium.
Jelasnya, perkara itu sebenarnya bukan isu kerana boleh diselesaikan malah kebanyakan mereka telah menerima pampasan sebanyak 70 peratus daripada baki belum dibayar.
“Sesiapa yang enggan berpindah akan berhadapan dengan situasi amat sukar, lebih-lebih lagi apabila kawasan itu diwartakan sebagai Taman Negara,” katanya.