SIBU: Program Komuniti Sukan kebudayaan dan Belia Sibu Jaya, anjuran Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) diserbu orang ramai seawal jam 7 pagi.
Kira-kira 200 penduduk Sibu Jaya, terutamanya di kawasan kediaman flat menghadiri program terbabit yang julung kalinya diadakan di Sibu Jaya.
Paling mencuri tumpuan ialah penganjuran Pertandingan Futsal dan tarian poco-poco.
Pengerusi penganjur, Kaunselor Pasang Ngelambai ditemui berkata, respons penduduk penganjuran program tersebut adalah di luar jangkaan.
“Saya percaya kunjungan orang ramai akan bertambah terutamanya pada sebelah malam.
“Ini kerana, kita juga turut menjemput dua orang penyanyi tempatan menghiburkan orang ramai,” katanya.
Pasang berkata, penganjuran program itu bertujuan mengeratkan silaturahim penduduk Sibu Jaya.
Katanya, sehingga kini populasi penduduk Sibu Jaya mencecah kira-kira 20,000 dan terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.
Selain itu, penganjuran program seumpama ini adalah untuk mendekatkan MDLBS dengan rakyat terutama di kawasan-kawasan seliaannya.
Menurut Pasang, program ini dianjurkan selama dua hari bermula semalam.
Antara aktiviti dianjurkan ialah program sukaneka untuk pelajar sekolah, pertandingan karaoke, tarik tali, sepak takraw dan kebersihan kediaman flat.
Sementara itu, MDLBS sebelum ini pernah menganjurkan program yang sama di Tutus, Batang Igan, Skuau dan Sungai Menyan.