MIRI: Seramai 15 lelaki masing-masing didenda RM2,000 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, di sini semalam kerana kesalahan bermain judi haram di tempat awam.
Hukuman itu dijatuhkan Majistret Lovely Natasha Charles setelah semua tertuduh berusia antara 19 hingga 27 tahun mengaku bersalah atas tuduhan dibacakan terhadap mereka mengikut Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Mengikut kesalahan ini, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Menurut keterangan kes, bertindak atas maklumat sepasukan polis membuat serbuan ke sebuah premis di tingkat dua, Pusat Komersil Boulevard di sini.
Dalam serbuan sekitar jam 12.30 pagi itu, polis menahan seramai 15 orang lelaki didapati sedang bermain judi haram jenis ‘poker’.
Berikutan itu, semua tertuduh dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk disoal siasat.