
TERIMALAH: Letitia (dua kanan) menyampaikan poster FMCM kepada Lawrence (dua kiri) disaksikan oleh Asif (kanan) dan Andrew (kiri) di Miri semalam.
MIRI: Kira-kira 3,000 peminat muzik country dijangka berkunjung ke Parkcity Everly Hotel Miri (PEHM) untuk menghadiri Festival Muzik Country Miri (FMCM) pada 27 Februari tahun depan.
Antara band yang dijemput bermain secara ‘live’ pada kali ini berasal dari Amerika Syarikat, Australia, Singapura, Indonesia, Kuala Lumpur dan Miri.
Mereka terdiri band memainkan muzik rock, pop, kontemporari, ‘bluegrass’ dan ‘folk country’.
Pengurus Besar Planet Conventions and Events Sdn Bhd (Planet Conventions), Letitia Samuel memberitahu peminat bukan sahaja menikmati muzik country malah menghadiri bengkel muzik dan tarian diadakan sebelum festival.
“Para peminat muzik country bukan sahaja menghadiri konsert tetapi juga menyertai bengkel dan tarian,” katanya pada sidang media di sini semalam.
Malah, penganjur FMCM turut bekerjasama dengan Pesatuan Rurum Kelabit untuk mengadakan promosi makanan tradisi sepanjang konsert tersebut.
Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM), Lawrence Lai berkata pihaknya bercadang mengadakan rekod tarian muzik country ketika festival itu.
“Kita akan berhubung dengan Malaysia Book Of Records (MyBOR) berkenaan tarian pada FMCM nanti,” jelasnya.
Tiket mula dijual dengan harga RM80 untuk dewasa dan RM40 untuk kanak-kanak, tetapi sehingga 16 September depan ia dijual dengan harga promosi RM60 untuk dewasa manakala RM30 untuk kanak-kanak.
Tiket-tiket boleh didapati di pejabat Planet Conventions (082-250400), PEHM (085-440288), Planet Borneo Travel and Tour Services (085-414300) dan Asif Pishori (014-6922757).
Tiket juga turut dijual secara talian di www.miricountrymusic.com dan boleh melayari laman sesawang berkenaan untuk maklumat lebih lanjut.
Turut hadir pada sidang media itu ialah Pengarah Artistik FMCM, Asif Pishori dan Pengurus Besar PEHM, Andrew Law.