MIRI: Ahli-ahli Parti Rakyat Bersatu (UPP) diingat supaya tidak mudah berasa goyah dengan kritikan daripada pelbagai pihak mempertikai status parti itu dalam Barisan Nasional (BN).
Sehubungan itu, Ketua UPP Bahagian Miri Datuk Hii King Chiong mahu semua ahli parti itu menerima kritikan tersebut secara positif dengan menjadikan sebagai pencetus semangat mereka menguatkan parti.
“Kita tahu terdapat segelintir pihak sentiasa mahu mengkritik dan memberi tanggapan negatif terhadap apa dilakukan UPP untuk masyarakat.
“Justeru itu, untuk berdepan dengan situasi seperti ini ahli-ahli parti perlu terus bertenang dan jangan melatah dengan kritikan mereka sebaliknya ambil kritikan itu dari prespektif positif,” katanya pada majlis makan malam Penghargaan Ibu Bapa anjuran Sayap Pemuda dan Wanita UPP wilayah utara di sini malam kelmarin.
Menurutnya, daripada mereka bertelagah berhubung isu dan kedudukan UPP adalah lebih baik ahli-ahli parti itu memberi fokus bagaimana perlu menyampaikan khidmat terbaik kepada rakyat ke peringkat akar umbi.
Pengerusi UPP Cawangan Piasau itu berkata, sebagai sebuah parti mesra BN, UPP berkongsi misi dan matlamat dengan kompenan BN untuk memperjuang kepentingan dan faedah untuk rakyat negeri ini.
Beliau mengingatkan ahli-ahli peringkat akar umbi terus kekal bersatu dan mengenepikan isu-isu peribadi hanya memecahbelahkan mereka.
“Saya amat gembira dengan semua penyokong dan ahli-ahli parti peringkat akar umbi kerana memberi sokongan penuh kepada UPP.
“Malah, rakyat turut meminta bantuan dan mengemukakan masalah mereka kepada UPP di setiap cawangan kawasan masing-masing,” katanya.
Orang ramai datang kepada UPP menyampaikan masalah kerana mereka mempunyai keyakinan tinggi dengan UPP membantu menyelesaikan masalah mereka.
“Justeru itu, kita perlu melakukan yang terbaik bagi memenuhi jangkaan rakyat terhadap khidmat yang kita berikan,” jelas beliau.
Seramai lima pengerusi parti itu masing-masingnya dari cawangan Bekenu, Bintulu, Limbang, Senadin dan Pujut turut hadir dan menyampaikan ucapan masing-masing dengan meminta ahli-ahli parti terus bersatu.
Pada majlis berkenaan, parti itu turut menyampaikan angpau kepada dua warga emas yang paling tua (lelaki dan wanita), ibu dan bapa ahli-ahli parti berkenaan.
Turut hadir Setiausaha Politik Ketua Menteri, Suzanne Lee yang juga pengerusi penganjur majlis itu.