KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam merasmikan mesyuarat agung tahunan ke-60 MCA di Wisma MCA di sini.
Terdahulu ketibaan Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) pada jam 10.15 pagi disambut Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, timbalannya Datuk Seri Liow Tiong Lai serta pemimpin kanan MCA.
Selepas ucapan dasar Dr Chua, Najib menyampaikan ucapan perasmian di hadapan lebih 3,000 perwakilan, anggota parti serta pemerhati.
Mesyuarat agung tahunan MCA selama empat hari mulai Khamis lalu menyaksikan pemilihan kepimpinan Pemuda MCA, Wanita (semalam) dan barisan kepimpinan utama MCA serta persidangan agung parti semalam.
Ketika berucap, Najib turut bertanya khabar dalam bahasa Mandarin: “Da Jia Ha “ (Apa khabar), yang mendapat tepukan gemuruh hadirin.
“Mudah-mudahan barisan kepimpinan MCA baharu ini mampu pacu MCA ke hadapan dengan lebih berjaya lagi,” katanya.
Seramai 2,385 perwakilan MCA akan memilih presiden, timbalan presiden, empat jawatan naib presiden serta 25 anggota jawatankuasa pusat, tengah hari semalam.
Keputusan kepimpinan tertinggi MCA dijangka diumumkan pada jam 6 petang. — Bernama