KUCHING: Pos Malaysia Berhad sentiasa menggalas tradisi untuk menghubungkan rakyat Malaysia dengan keluarga dan kenalan mereka, tidak mengira di mana mereka berada khususnya pada musim perayaan.
Meskipun aplikasi komunikasi digital kini menguasai segenap hidup kita, namun menghantar kad ucapan menggunakan kaedah tradisi masih lagi menjadi pilihan rakyat Malaysia.
Apatah lagi, tidak ada yang dapat menandingi perasaan gembira ketika menerima kad ucapan di dalam peti surat.
Untuk itu, sempena musim Aidilfitri kali ini, Pos Malaysia berasa teruja untuk sekali lagi menawarkan promosi kadar pengeposan istimewa untuk kad ucapan Hari Raya dari 18 Jun hingga 13 Julai 2015.
Kadar pengeposan bagi kad ucapan pelbagai saiz, bentuk dan warna ke mana-mana destinasi di Malaysia ditetapkan pada hanya 50 sen (berat sehingga 50 gram).
Harga biasa bagi pengeposan surat bukan standard lazimnya antara 80 sen hingga 90 sen.
“Nilai sentimental selalunya lebih tebal jika kita menulis sendiri ucapan Selamat Hari Raya di atas sekeping kad. Sebab itu, ramai yang masih memilih untuk menghantar kad ucapan menerusi pos kerana ia membawa bersama sentuhan emosi si penghantar.
“Kami di Pos Malaysia berharap dengan adanya promosi ini buat kesekian kalinya, tradisi menghantar kad Raya akan berterusan dan tidak luput ditelan zaman,” demikian menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia Azlan Shahrim melalui kenyataan akhbar di sini, semalam.
Ini adalah tahun ke-10 Pos Malaysia menawarkan kadar promosi pengeposan kad raya kepada para pelanggannya.
Pelanggan dinasihatkan untuk mengepos kad raya mereka lebih awal bagi membolehkannya dihantar dan sampai sebelum Hari Raya Aidilfitri.
“Kami juga ingin menasihatkan pelanggan kami untuk menulis alamat penerima dengan jelas di atas sampul surat serta melampirkan maklumat yang sesuai, seperti nama penuh, nombor rumah, nama jalan, poskod dan lain-lain kerana ini boleh membantu kami memproses dan membuat penghantaran yang tepat,” kata Azlan lagi.
Orang ramai boleh membeli setem untuk kad ucapan Hari Raya mereka dari pejabat pos dan ejen jualan sah Pos Malaysia di seluruh negara.