KUCHING: Markas 1 Divisyen kini meletakkan pemerhatian rapat di kalangan anggotanya sebagai langkah mengekang penularan fahaman dan ajaran Syiah dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Jelas Panglima 1 Divisyen Leftenan Jeneral Datuk Mohd Zaki Mokhtar, ini kerana anggota ATM juga terdedah kepada gerakan yang semakin aktif itu.
“Kesan daripada fahaman dan ajaran Syiah adalah amat berbahaya dan ia amat perlu diberi tindakan tegas.
“Sehubungan itu, di peringkat ATM, kami memerhati secara rapat di kalangan anggota supaya tidak ada yang terikut-ikut atau terbawa-bawa dengan gerakan tersebut,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Syarahan Bahaya Syiah di Malaysia anjuran Markas 1 Divisyen yang diadakan di Kem Penrissen, Batu 8 di sini, kelmarin.
Bagaimanapun, Zaki berkata setakat ini tiada anggota ATM dikenal pasti terlibat dalam gerakan tersebut.
“Saya berharap agar fahaman dan ajaran Syiah tidak berkembang dalam ATM terutamanya warga Tentera Darat. Atas dasar itu, kami telah meningkatkan usaha menyedarkan warga ATM supaya tidak terjebak,” katanya.
Mengulas mengenai program terbabit, Zaki berkata ia merupakan sebahagian daripada usaha ATM melalui KOR Agama untuk mendedahkan warganya berhubung ancaman Syiah.
“Saya berharap pendedahan seperti ini akan memberi pemahaman kepada warga tentera khususnya di Sabah dan Sarawak agar dapat bersama kerajaan dalam membasmi dan mengekang ajaran Syiah di negara ini.
“Ini kerana ajaran Syiah merupakan satu bentuk ancaman kepada kestabilan perpaduan negara dan kami akan menghadapinya secara menyeluruh,” katanya.