Quantcast
Channel: Utusan Borneo – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228

Konsep kubikel di Jepun harus diteliti: Fatimah

$
0
0

KUCHING: Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga mahu meneliti konsep pusat pemindahan bencana di Jepun untuk diguna pakai di negeri ini.

Menterinya Datuk Fatimah Abdullah berkata, konsep bilik kecil atau kubikel itu ternyata lebih sistematik, bersih dan privasi.

“Malam semalam (malam kelmarin) saya pergi majlis makan malam bersama tetamu dari Jepun dan kami berbincang mengenai konsep yang mereka gunakan untuk pusat bencana di sana dan bagaimana kita melaksanakannya.

“Saya berasa perkara seperti ini harus kita teliti bagi meningkatkan dari segi kesejahteraan pusat pemindahan kita di sini sama ada untuk bencana banjir atau kebakaran,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku masakan ‘Indian Flavour’ di sini, semalam.

Fatimah tidak menafikan ia mungkin menelan kos yang agak tinggi untuk melaksanakan konsep sedemikian, namun percaya yang penting ia berbaloi untuk mangsa bencana.

Jika dibandingkan dengan pusat pemindahan bencana di negeri ini, katanya, ia lebih terbuka dan tidak memberi privasi kepada mangsa.

“Saya berasa (konsep) di Jepun ini amat baik kerana ia memberi privasi kepada ibu terutamanya yang menyusukan anak atau mereka yang mahu bertukar pakaian,” ujarnya sambil memberitahu ia juga membolehkan jawatankuasa bencana menguruskannya secara sistematik.

Mengulas mengenai musim landas atau tengkujuh yang sering berlaku pada penghujung tahun, Fatimah menasihatkan orang ramai terutama mereka di kawasan rendah atau tebingan sungai supaya berjaga-jaga.

“Semasa mesyuarat jawatankuasa bencana peringkat negeri yang dipengerusikan Timbalan Ketua Menteri baru-baru ini, kami dimaklumkan Jabatan Meteorologi bahawa corak hujan diramalkan adalah biasa sahaja.

“Namun, sekali lagi kita menegaskan bahawa ia cuma ramalan sahaja dan untuk yang terbaik adalah sentiasa bersedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” tegasnya.

Beliau menjelaskan, jika hujan lebat berterusan selama beberapa jam ia akan menyebabkan air pasang yang berpotensi menyebabkan banjir.

Ditanya mengenai laporan banjir setakat ini, Fatimah berkata tidak ada sebarang laporan sehingga kini selain di Baram sebelum ini.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>