MIRI: Polis Miri berjaya memberkas seorang pekerja di sebuah agensi kiriman wang asing kerana disyaki membuat laporan palsu dengan mendakwa dirompak ketika mendepositkan wang hampir RM200,000 milik agensi tempatnya bekerja di sebuah bank di sini.
Tangkapan ke atas suspek dilakukan sekitar jam 8.30 malam kelmarin semasa memberi keterangan kepada pegawai penyiasat di Balai Polis Pusat Miri di sini.
Menurut sumber, ketika keterangan diambil suspek yang berusia 34 tahun didapati memutar-belitkan cerita hingga menimbulkan keraguan kepada polis dan hasil soal siasat lanjut, dia akhirnya mengaku membuat laporan palsu berhubung insiden dia dirompak.
Berikutan penangkapan suspek, sekitar jam 10.30 malam hari sama, polis pergi ke sebuah rumah di Pujut dan menangkap seorang lagi lelaki dipercayai rakan sepenjenayah suspek.
Hasil tangkapan ke atas suspek kedua yang berusia 45 tahun, polis merampas wang tunai RM120,000 daripadanya untuk dijadikan barang kes.
Selain itu, polis turut merampas sejumlah RM40,000 yang diserahkan oleh adik kepada suspek pertama.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Mun Kock Keong ketika dihubungi mengesahkan kes tersebut dan memberitahu polis kini sedang melakukan siasatan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.