KOTA KINABALU: Kapitan Cina Cawangan Lido, Kwok Leong Ping, 62, memohon semua pihak berhenti membuat sebarang spekulasi berhubung tindakannya menarik balik semula laporan polis berhubung kes yang membabitkan seorang ahli politik berpangkat Datuk baru-baru ini.
Menurut beliau dia sering dicemuh ekoran tindakan itu sehingga ada yang tergamak mengatakan dia telah dibayar oleh seseorang individu bagi tujuan berkenaan.
“Tiada isu mengenai dibayar atau diugut oleh sesetengah pihak sehingga mengakibatkan saya menarik semula kes itu.
“Saya dengan rela hati menarik semula laporan berkenaan kerana tidak mahu perkara ini berpanjangan memandangkan kejadian terbabit adalah kes kecil sahaja,” katanya ketika ditemui kelmarin.
Kwok turut menegaskan insiden terbabit sedikit sebanyak menjejaskan kehidupannya sebagai kapitan di kawasan berkenaan sejak empat tahun lalu namun menyifatkan perkara itu berkemungkinan mempunyai hikmah tersendiri.
Dalam kejadian sekitar awal November lalu, difahamkan kapitan terbabit telah terlibat dalam pergaduhan dengan Presiden KDM Malaysia, Datuk Peter Anthony, dipercayai di sebuah lokasi berhampiran Lido, Luyang dekat sini.
“Sehubungan itu, kini saya tampil untuk memberitahu saya sememangnya dengan rela hati menarik laporan berkenaan dan tiada siapa yang mengarahkan saya untuk berbuat demikian apatah lagi dengan ugutan atau sebagainya.
“Saya juga meminta agar orang ramai berhenti membuat tohmahan dan sebarang andaian untuk memburuk-burukan imej saya sebagai kapitan di kawasan Lido,” katanya.