SIBU: Penyertaan Pertandingan Kumang Pesta Kebudayaan Dayak Borneo (BDCF) 2013 kini terbuka kepada wanita Dayak yang berminat.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Kumang BDCF 2013, Angelyn Uchi Maseng pertandingan itu terbuka kepada semua wanita Dayak yang masih bujang, berumur 18 tahun ke atas dan tidak melebihi 30 tahun.
“Penyertaan terbuka kepada para jelitawan Dayak di negeri ini serta ketinggian mestilah melebihi lima kaki dua inci.
“Pertandingan ini akan dijalankan secara tiga peringkat iaitu dari 2 Julai hingga 4 Julai.
“Pada 2 Julai jam 7.30 malam di pentas BDCF, Dataran Bandar Sibu Fasa I, peringkat pusingan awal akan dijalankan diikuti separuh akhir (3 Julai) dan peringkat akhir (4 Julai) pada masa dan venue sama,” katanya pada sidang media, di sini semalam.
Jelas Uchi, hadiah-hadiah Kumang BDCF 2012 yang ditawarkan ialah johan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 berserta piala, selempang dan hamper sementara naib johan menerima RM800 berserta piala, selempang dan hamper.
“Tempat ketiga pula memenangi RM600 berserta piala, selempang dan hamper. Tempat keempat dan kelima menerima RM200. Sebagai hadiah sagu hati, tempat keenam hingga ke-10 masing-masing menerima RM150,” tambahnya sambil memberitahu para finalis diwajibkan memakai pakaian tradisi Iban/Orang Ulu/Bidayuh.
Selain itu, satu lagi kategori iaitu Miss Favourite akan dipertandingkan untuk rebutan para peserta.
Jelas Uchi, kategori itu akan diadili melalui undi yang akan dijual RM1 kepada orang ramai oleh pihak penganjur.
Sementara itu, beliau memberitahu para peserta hendaklah menyediakan pakaian, dandanan rambut serta keperluan lain ditanggung sendiri.
Kriteria pemarkahan dinilai dari segi kecantikan (70 peratus), potongan badan (10 peratus) dan keyakinan diri/pakaian (20 peratus).
Tarikh tutup penyertaan ialah pada 25 Jun ini dan tiada sebarang yuran penyertaan dikenakan kepada para peserta.
Sebarang pertanyaan lanjut diminta menghubungi Uchi di talian 016-8825861/084-336077, Rose Chukan (013-8313990) atau Claudia Dieo (019-8346803).