KUCHING: Pasukan Anton mengungguli senarai 13 pasukan yang berentap pada ‘Celcom Amazing X Challenge’ yang diadakan di sini, kelmarin.
Manakala tempat kedua dan ketiga pula diduduki oleh pasukan Spanky Drill dan Eagle Land.
Kesemua pemenang masing-masing membawa pulang hadiah berupa TV Plasma 43 inci, Samsung Home Theatre, barangan elektrik Sony serta baucar tunai.
Penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan oleh Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai.
Sementara, lima pasukan turut tidak pulang dengan tangan kosong apabila masing-masing menerima hadiah cabutan bertuah yang diadakan sebaik sahaja menamatkan cabaran.
Penyampaian hadiah cabutan bertuah tersebut disempurnakan oleh Pengurus Jualan Wilayah Celcom Doris Ting.
Turut hadir menyaksikan majlis ialah Pengarah Celcom Wilayah Sabah dan Sarawak (Jualan) Choo Meng Chung.
‘Celcom Amazing X Challenge’ menyaksikan 13 pasukan berentap dengan perlu melalui beberapa cabaran yang ditetapkan di sekitar bandar raya ini bermula dari pusat beli-belah Plaza Merdeka dan tamat di pokok Krismas Xpax di Padang Merdeka.
Pertandingan diadakan sempena sambutan perayaan Krismas tidak lama lagi.