KUCHING: Setiap rakyat di Malaysia bebas untuk mengamalkan ajaran agama masing-masing dan tiada unsur asimilasi dipraktikkan, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Beliau berkata, di bawah peruntukan perlembagaan, setiap kaum di negara ini tidak disekat untuk mengamalkan budaya hidup masing-masing.
Biarpun mempunyai fahaman politik berbeza menurutnya, semangat perpaduan di kalangan rakyat Malaysia masih utuh dan hidup dalam keadaan harmoni.
“Kita di Malaysia tidak praktikkan asimilasi.
“Setiap kaum bebas untuk mengamalkan budaya masing-masing walaupun berbeza fahaman politik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Deepavali Queen 2013 dan Anugerah Pelajar Cemerlang 2012 di sebuah hotel terkemuka di sini, malam kelmarin.
Mengambil Sarawak sebagai contoh, beliau menjelaskan bahawa terdapat lebih 40 etnik di negeri ini yang mempunyai bahasa dan kepercayaan berbeza tetapi rakyat dapat hidup dalam keadaan harmoni.
Sehubungan itu, Wan Junaidi memberitahu, kestabilan politik dan sosial di Malaysia perlu terus dikekalkan bagi mengukuhkan ekonomi.
“Sekarang kita boleh lihat, kestabilan politik dan sosial memberi sumbangan besar kepada pengukuhan ekonomi Malaysia,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, beliau mahu setiap lapisan masyarakat termasuk kaum minoriti memberi keutamaan kepada pendidikan bagi mencerahkan masa depan.
“Tidak semua kita diberi kekayaan atau tanah, namun kita patut beri keutamaan kepada aspek pendidikan.
“Menerusi pendidikan, kita dapat mengubah corak kehidupan,” jelasnya.
Pada majlis sama, Wan Junaidi turut menyampaikan cek bernilai RM300,000 kepada Persatuan Kuil Hindu Kuching.
Hadir sama bekas Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan, Presiden Persatuan India Kuching Anthony Ramanair dan pengerusi penganjur Malam Deepavali Queen 2013 M. Rajah.