Quantcast
Channel: Utusan Borneo – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228

MKM rancang memperluaskan pengajian tinggi ke Sarawak: Dr Ahmad

$
0
0

KUCHING: Maktab Koperasi Malaysia (MKM) merancang memperluaskan program pengajian tinggi yang dijalankan melalui ICOOP Malaysia ke Sarawak bermula awal tahun depan.

Ketua Pengarah MKM Dr Ahmad Zahiruddin Yahya berkata ia adalah bagi meningkatkan lagi keupayaan modal insan koperasi dan membantu membangunkan gerakan koperasi ke peringkat yang lebih cemerlang.

“Menyedari hakikat pentingnya mengukuhkan gerakan koperasi di Malaysia, MKM yang genap 15 tahun di Sarawak menyahut seruan untuk memperkasakan modal insan koperasi dalam bidang latihan dan pendidikan.

“Antara lain fokus latihan akan menekankan kepada membina kepimpinan koperasi, peningkatan kemahiran pengurusan serta sahsiah diri dan pembudayaan keusahawanan dalam koperasi,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada Majlis Makan Malam Nostalgia 15 Tahun MKM di Bumi Kenyalang sempena Seminar Jaringan Kerjasama Strategik: Ke Arah Peningkatan Keberhasilan Koperasi di sini, kelmarin.

Selain itu, Dr Ahmad berkata mengambil langkah lebih jauh ke arah memartabatkan latihan sektor koperasi, MKM telah menubuhkan sebuah anak syarikat yang dikenali MKM Global Holding Sdn Bhd bagi merealisasikan impian mewujudkan Universiti Koperasi pertama di Malaysia menjelang 2024.

“Langkah awal MKM ke arah penubuhan universiti itu nanti, Pusat Antarabangsa dan Pendidikan Tinggi MKM telah dijenamakan kepada ICOOP Malaysia bermula 1 Oktober lalu.

“Untuk itu, program pengajian tinggi yang dijalankan melalui ICOOP akan diperluaskan ke Sarawak,” katanya.

Sementara itu, seminar yang diadakan selama dua hari dari 10 hingga 11 Disember lalu adalah bertujuan berkongsi dan mendedahkan para koperator mengenai kepentingan prinsip kerjasama dan pembentukan jaringan strategik di antara koperasi dengan koperasi dan swasta dengan kerajaan.

Jelas Dr Ahmad, signifikan kepada galakan kerjasama dan jaringan strategik tersebut akan membolehkan koperasi untuk turut sama terlibat dalam perniagaan berskala besar dan berdaya saing sebagaimana sektor swasta.

Sebanyak enam kertas kerja telah dibentangkan iaitu ‘Pengenalan Kepada Konsep Jaringan Kerjasama Strategik Dalam Konteks Strategi Lautan Biru’ oleh Dr Dusit Jauh (INTAN Sarawak), ‘Jaringan Kerjasama Strategik Dalam Konteks Dasar Koperasi Negara Kedua’ oleh Mahalacheemee Manickam (Suruhanjaya Koperasi Malaysia), ‘Perkongsian Pengalaman Daripada Dua Buah Koperasi Iaitu Koperasi Pelancongan Mukim Batu Puteh Kinabatangan dan National Land Finance Cooperative Society Limited’ serta ‘Perkongsian Peluang Kepada Koperasi Oleh FELCRA Berhad dan MYDIN Mohamed Holdings Berhad’.

“Input-input dalam seminar ini diharap akan menjadi pemacu kepada koperasi-koperasi di Sarawak khasnya untuk membuka satu lembaran baharu ke arah pembentukan perniagaan koperasi yang lebih berjaya melalui jaringan kerjasama strategik.

“Dengan adanya koperasi dalam bidang yang diterokai akan mampu menambah baik kedudukan sosioekonomi anggota-anggota koperasi umumnya,” kata Dr Ahmad.

Di samping itu, majlis turut menyaksikan penyampaian anugerah – Anugerah Koperator Terbaik (Penyertaan), Anugerah Koperasi Terbaik (Sokongan Teknikal), Anugerah Pelajar Terbaik SPK Sesi Julai 2011 dan Pingat Jasamu Dikenang.

Senarai penerima bagi setiap anugerah tersebut ialah Pengerusi Koperasi Keluarga Hamden Tomi Miri Berhad (Anugerah Koperator Terbaik), Koperasi Kampung Bunan Serian Berhad (Anugerah Koperasi Terbaik) serta Pengerusi Koperasi Sinar Harapan OKU Berhad Adzohari Jamil (Anugerah Pelajar Terbaik SPK Sesi Julai 2011).

Pingat Jasamu Dikenang pula dianugerahkan kepada Norshamilawati Jamel dan Siti Zaleha Mohammad.

Turut hadir Pengarah MKM Sarawak Ngadi Robin.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>