Quantcast
Channel: Utusan Borneo – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228

Tiada bukti asas untuk mengesahkan kenyataan hakim: Peguam bela Anwar

$
0
0

PUTRAJAYA: Tiada bukti asas yang boleh mewajarkan kenyataan seorang hakim Mahkamah Persekutuan dalam penghakimannya bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah seseorang yang mempunyai kecenderungan terhadap perlakuan homoseksual, demikian mahkamah persekutuan diberitahu semalam.

Dalam hujahnya, peguam Datuk Sulaiman Abdullah, yang mewakili ketua pembangkang itu berkata kenyataan berkenaan sepatutnya dipadamkan daripada sebahagian besar penghakiman bertulis oleh hakim Mahkamah Persekutuan ketika itu Tun Abdul Hamid Mohamad ketika melepaskan Anwar daripada tuduhan meliwat pemandu keluarganya.

Katanya, perenggan yang dipersoalkan itu tidak diperlukan dan tidak relevan dalam penghakiman berkenaan kerana ia merupakan kenyataan peribadi Abdul Hamid terhadap Anwar dan tidak menjadi prinsip utama dalam kes terbabit.

“Perenggan yang dipersoalkan itu begitu tidak adil dan tidak munasabah kerana komen peribadi itu dibuat tanpa mengambil kira keterangan Anwar semasa perbicaraan,” katanya.

Sulaiman berkata, perenggan yang dipersoalkan itu mencemar dengan teruk nama baik Anwar dan terus mengakibatkan berlakunya ketidakadilan secara serius serta kerosakkan nama baiknya kerana ia sering disalah guna, diulang, disiarkan dan digunakan secara meluas sebagai suatu justifikasi untuk mengutuk dan merujuk kepada Anwar sebagai seorang pengamal homoseks atau seks songsang kepada orang ramai.

Beliau berkata, setiap kali ketua pembangkang itu memfailkan saman fitnah bagi membersihkan namanya, penentang beliau akan menggunakan penghakiman berkenaan untuk membela diri.

Katanya, perenggan berkenaan boleh ditafsirkan sebagai merendah-rendahkan, tidak wajar dan berat sebelah apabila hakim Mahkamah Persekutuan itu mengisytiharkan Anwar sebagai pesalah bersiri dan malah, melakukan kesalahan berkenaan seperti yang dituduh, tetapi beliau terpaksa dibebaskan kerana tidak cukup bukti.

Sulaiman berkata demikian dalam permohonan semakan semula yang dikemukakan Anwar untuk memadam perenggan “kami menemui bukti untuk mengesahkan bahawa perayu (Anwar dan Sukma Darmawan Sasmitaat Madja) terlibat dengan kegiatan homoseksual dan lebih cenderung untuk mempercayai bahawa kejadian yang didakwa berlaku di Tivoli Villa itu benar-beanr berlaku pada…” dalam penghakiman berkenaan.

Pada 2 Sept 2004, Mahkamah Persekutuan yang diketuai Abdul Hamid, kemudiannya dilantik menjadi Ketua Hakim Negara dan selepas itu bersara pada 2008, dalam keputusan majoriti 2-1nya, membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat Azizan Abu Bakar.

Mahkamah Persekutuan mengubah keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhi hukuman penjara sembilan tahun terhadap Anwar.

Panel Mahkamah Persekutuan yang sama juga mengubah pensabitan dan hukuman penjara enam tahun terhadap Sukma Darmawan, adik angkat Anwar, yang dibicarakan bersama beliau (Anwar) bagi tuduhan meliwat Azizan di Tivoli Villa, Kuala Lumpur pada 1994.

Sementara itu, dalam hujahnya, Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup berkata, mahkamah berkenaan berhak memberi komen tentang kelakuan Anwar kerana terdapat bukti dalam rekod rayuan untuk mewajarkan kenyataan itu dibuat. — Bernama


Viewing all articles
Browse latest Browse all 47228


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>