KUALA LUMPUR: Permohonan dalam talian untuk Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) sudah mencapai 30,000 setakat ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim.
Beliau berkata kerja pembangunan rumah PR1MA dijangka dimulakan tahun depan.
“Jumlah unit PR1MA yang akan dibina bergantung kepada perbincangan.Pada masa ini pembangunan projek PR1MA yang sudah berjalan adalah di Alam Damai Cheras,” katanya ketika menjawab soalan Alice Lau Kiong Yieng (DAP-Lanang) semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat semalam.
Ketika menjawab soalan asal Hasbi Habibollah (BN-Limbang), Shahidan berkata setakat ini fokus PR1MA lebih tertumpu untuk membantu golongan berpendapatan sederhana di kawasan bandar dan pinggiran bandar yang mengalami kesempitan untuk memiliki rumah.
“PR1MA boleh dipohon oleh orang muda yang belum berkahwin dan boleh dibina dalam bentuk pangsapuri satu bilik, pangsapuri satu campur satu, pangsapuri dua campur satu atau rumah kediaman tanah empat bilik,” jelasnya.
Shahidan menjelaskan bahawa pembangunan PR1MA di Sarawak dilaksanakan di Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri.
“PR1MA mengadakan beberapa siri mesyuarat dengan kerajaan negeri melalui kementerian yang berkaitan ke arah mencapai kata sepakat.
“PR1MA juga bekerjasama dengan Persatuan Pemaju Perumahan Hartanah Sarawak untuk kenal pasti projek yang boleh dilaksanakan secara kerjasama. Tidak ada halangan untuk bina rumah PR1MA di Limbang sekiranya ada permintaan yang tinggi di kawasan-kawasan tersebut,” katanya. — Bernama