KUCHING: Notis Tunjuk Sebab diberikan Pendaftar Pertubuhan (ROS) kepada dua cawangan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) diyakini tidak memberi kesan terhadap parti.
Presidennya Tan Sri Peter Chin berkata, tindakan ROS itu adalah untuk menyiasat proses perjalanan pemilihan peringkat SUPP cawangan Bekenu dan Piasau.
Menurutnya, pucuk pimpinan parti tidak perlu mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan isu tersebut kerana ia diyakini dapat diselesaikan dengan menjawab Notis Tunjuk Sebab berkenaan.
“Ibu pejabat parti telah menerima surat itu dan kita akan memberi penjelasan berhubung persoalan yang dibangkitkan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Setiausaha Agung SUPP Prof Dr Sim Kui Hian tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan reaksi.
Cawangan-cawangan terbabit dikatakan melakukan beberapa amalan bercanggah dengan peraturan pemilihan parti yang merupakan permulaan proses Persidangan Tiga Tahun Sekali (TDC) pada Disember 2011.
Chin menang jawatan Presiden pada TDC itu bagi menggantikan penyandangnya, Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan yang memilih untuk bersara dari politik selepas tewas pada Pilihan Raya Negeri 2011.
Sementara itu, Ketua Pengarah ROS Datuk Abdul Rahman Othman menerusi satu kenyataan semalam berkata, Notis Tunjuk Sebab itu dikeluarkan di bawah Seksyen 13 (2), Akta Pertubuhan 1966.
Ia merupakan lanjutan daripada aduan yang diterima daripada ahli-ahli parti yang tidak berpuas hati mengenai proses pemilihan parti yang dijalankan pada tempoh tersebut.
“SUPP mempunyai 30 hari daripada tarikh notis iaitu 6 Jun 2013 untuk menjawab perkara-perkara yang dibangkitkan dan jawapan tersebut hendaklah memuaskan Pendaftar Pertubuhan,” ujarnya.
Dalam kenyataan yang diedarkan pada sidang media Pengarah ROS Sarawak Ken Leben semalam, Abdul Rahman menegaskan notis tersebut bukan Perintah Pembatalan pendaftaran SUPP.
“ROS akan membuat keputusan berpandukan jawapan yang dikemukakan oleh SUPP dan keputusan yang akan dibuat ini akan berlandaskan kepada Akta Pertubuhan 1966,” jelasnya.
Selain Bekenu dan Piasau, ROS turut menerima aduan berhubung salah laku dalam pemilihan di cawangan Kuching, Pending, Padungan, Sri Aman, Sarikei, Bintangor, Repok, Sibu, Kanowit, Bintulu, Julau dan Song.
Mengulas mengenai cawangan lain, Ken berkata, setakat ini cuma dua cawangan yang diberikan Notis Tunjuk Sebab.
Ditanya mengenai nasib SUPP, beliau berkata, masih terlalu awal untuk mengaitkan parti itu dengan pembatalan pendaftarannya atau dikehendaki mengadakan TDC semula.