KUCHING: Ahli-ahli Persatuan Tuai Rumah Balai Ringin, Simunjan dan Pantu (PTR) kesal dengan tindakan Pengerusinya, Peter Mooney berhubung isu pelantikan tuai rumah baru-baru ini.
Samuel Tinden, Steven Jenang dan Rentap Gasan dalam kenyataan akhbarnya semalam berkata, tindakan Peter yang mempersoalkan keputusan kerajaan memperbaharui perkhidmatan mereka sebagai tuai rumah adalah salah.
“Sebagai tuai rumah, perkhidmatan kami juga telah tamat tempoh dan kami tidak membuat sebarang aduan mengenai isu ini seperti yang telah dibuat oleh Peter Mooney.
“Kami memahami bahawa Skim Pelantikan Ketua Kaum adalah berdasarkan terma dan syarat pelantikan kerajaan negeri.
“Ia di bawah Jabatan Ketua Menteri sama ada untuk menamatkan atau memperbaharui perkhidmatan kami,” ujar mereka selepas membaca kenyataan yang dibuat oleh Peter Mooney dan Penghulu Pelie dalam akhbar tempatan pada 24, 25 dan 29 November lepas.
Mereka berkata, Peter seharusnya tahu akan skim pelantikan itu dengan baik dan tidak harus menggunakan persatuan untuk menuntut dan memberi tekanan kepada kerajaan negeri agar memperbaharui perkhidmatan mereka.
Skim Pelantikan Ketua Kaum menyatakan dengan jelas bahawa perkhidmatan mereka adalah di atas budi bicara kerajaan dan boleh ditamatkan oleh salah satu pihak dengan memberi sebulan notis atau sebagai ganti bayaran dengan memberi bayaran sebulan elaun, jelas mereka lagi.
Tindakan Peter mendakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Balai Ringin tidak mahu membantu tuai rumah untuk memperbaharui perkhidmatan mereka juga diselar pihak berkenaan.