TURIN, Itali: Arturo Vidal menjaringkan gol menarik, termasuk dua menerusi tendangan penalti, apabila Juventus menghidupkan semula harapan mereka untuk layak ke peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara dengan kemenangan 3-1 yang memberangsangkan ke atas Copenhagen pada Rabu lepas.
Selepas Real Madrid mengesahkan tempat pertama dalam Kumpulan B ekoran kemenangan 4-1 di halaman sendiri ke atas Galatasaray, Juventus menggantikan tempat kelab Turki itu di tempat kedua dengan enam mata dan sekarang memegang kelebihan dua mata ke atas Galatasaray dan Copenhagen.
Juventus, yang mara ke peringkat suku akhir pada musim lepas di mana mereka disingkirkan oleh juara seterusnya Bayern Munich, kini hanya memerlukan satu mata sahaja di tempat lawan dalam perlawanan terakhir kumpulan mereka menentang Galatasaray untuk mara dalam masa dua minggu lagi.
Jurulatih Antonio Conte pernah menyatakan dia tidak suka jika mereka terpaksa bergantung kepada keputusan dalam perlawanan lain, dan begitu gembira sekali kerana Juve kini adalah penentu nasib mereka sendiri.
“Sekarang kami berada pada kedudukan untuk mengawal masa depan kami sendiri dalam pertandingan ini,” kata Conte selepas perlawanan yang didominasi Juve tetapi turut mempamerkan kelalaian.
“Kami sama sekali wajar memperolehi kemenangan ini tetapi jika kami tidak dibolosi sebarang gol, saya pasti jauh lebih gembira,” tambah Conte selepas pasukannya tidak dibolosi sebarang gol dalam lima perlawanan Serie A Itali.
“Kami kadang-kala menyusahkan diri sendiri tetapi kami kembali menguasai perlawanan dengan gol kedua dan ketiga.”
Selepas Copenhagen kini menduduki tempat tercorot dengan empat mata dan tersingkir, jurulatih Stale Solbakken mengakui mereka memerlukan keajaiban dalam perlawanan menentang Real Madrid untuk kemenangan yang akan membantu mereka mengesahkan tempat dalam Liga Europa.
“Kami hanya dapat berharap Real Madrid akan memberikan hadiah kepada kami sempena Krismas,” kata pengurus dari Norway itu.
Di tempat tercorot kumpulan tanpa sebarang kemenangan dari empat perlawanan, Juve secara ideal memerlukan satu kemenangan untuk melancarkan semula kempen yang hambar sebelum ini, dan selepas dihampakan dalam keputusan seri 1-1 di Copenhagen, juara Itali itu tidak mengecewakan.
Selepas mendominasi anak-anak buah Solbakken dari awal lagi, Juve mengesan ruang sejurus sebelum setengah jam.
Pengadil dari Sweden, Jonas Eriksson memberikan tendangan penalti selepas kapten Copenhagen, Lars Jacobson jelas menyentuh bola ketika Pogba cuba menyambut bola hantaran silang Pirlo.
Vidal tidak membuat sebarang kesilapan dari tendangan penalti yang diberikan dan menewaskan Johan Wiland dengan merembat bola ke sebelah kanan penjaga gol.
Juve kelihatan berbahaya bagi baki babak berkenaan tetapi dalam keadaan panik dua minit selepas babak kedua bersambung apabila bola muntah melantun dekat gol sebelum bola dikeluarkan.
Copenhagen ternyat a muncul dengan lebih bermatlamat dan menyamakan kedudukan tidak lama kemudian tetapi sebelum itu gandingan Asamoah-Llorente- Tevez mengancam sekali lagi sebelum pemain Argentina berkenaan melakukan cubaan yang melambung tinggi.
Satu rembatan Asamoah dari sebelah kiri kemudian ditepis keluar oleh Llorente dan bola sampai kepada Vidal tetapi pemain Chile itu tidak dapat melakukan rembatan yang baik dan cubaannya melepasi palang.
Seminit kemudian Copenhagen mengejutkan juara Itali itu selepas satu lontaran dari sebelah kanan apabila Olaf Mellberg – yang pernah bermain bersama Aston Villa dan Juventus – merembat bola muntah melepasi Gianluigi Buffon setelah Giorgio Chiellini dan Llorente melakukan kesilapan ketika mereka melompat untuk menanduk bola.
Kebimbangan mengenai kekalahan mengejut reda tidak sampai lima minit kemudian apabila Llorente memenangi tendangan penalti selepas dia mengawal bola dan dikasari Mellberg.
Vida l t ampi l untuk menewaskan Wiland buat kali kedua dan memulihkan kelebihan Juve.
Juventus menamatkan semua harapan bagi kebangkitan oleh kelab Denmark itu hanya dua minit kemudian apabila Vidal melakukan lompatan yang tepat untuk menanduk bola hantaran silang yang tinggi oleh Pogba dari sebelah kiri melepasi Wiland di tiang belakang penjaga gol.
Bagaimanapun beberapa minit kemudian Youssef Toutouh memaksa Buffon merebahkan badan untuk menyekat bola di tiang hadapannya dengan satu rembatan dari sudut dan kemudian satu lagi kekeliruan dalam kotak penalti menyebabkan panik dalam barisan pertahanan Juve sebelum pemain gantian pada babak kedua, Claudio Marchisio mengeluarkan bola.
Bagaimanapun Juventus mendominasi baki perlawanan dan Pogba mensia-siakan peluang pada minit terakhir untuk menjaringkan gol selepas dia gagal menyudahkan bola hantaran Pirlo dari jarak 20 meter. — AFP