KUCHING: Penstrukturan semula Jabatan Pertanian (DOA) yang kini berada di peringkat akhir dijangka berupaya melonjakkan sektor pertanian negeri ini ke tahap lebih maju.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata proses yang bermula Disember 2011 itu adalah sejajar dengan hasrat kerajaan menjadikan pertanian sebagai sektor komersial.
Sehubungan itu, masyarakat tani katanya tidak terkecuali daripada arus pemodenan sektor ekonomi yang bertujuan mencapai matlamat berpendapatan tinggi.
“Peralihan kepada organisasi berasaskan komoditi daripada berasaskan fungsi akan menjadikan DOA lebih fokus dalam mengkomersialisasikan dan memodenkan masyarakat tani.
“Ia mempunyai serampang dua mata iaitu membasmi kemiskinan dan menjana pendapatan tinggi menerusi pertanian serta mempercepatkan proses transformasi luar bandar,” katanya ketika menggulung perbahasan bagi Kementerian Pemodenan Pertanian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini semalam.
Jabu berkata lagi penstrukturan itu juga selari dengan visi, misi dan strategi Jabatan Pertanian yang memerlukan ia mengubah budaya korporat dan struktur dalaman.
Menurutnya, keupayaan dan kebolehan Jabatan Pertanian akan lebih sempurna menerusi rasionalisasi tenaga kerja, menyelaraskan fungsi, mendapatkan tenaga pakar dan mengagihkan kuasa.
Prestasi organisasi itu katanya akan lebih kukuh dengan melaksanakan Skorkad Seimbang.
“Ini penting untuk memastikan semua inisiatif transformasi dilaksanakan seperti dirancang,” ujarnya.
Sementara itu, pada 2014, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan RM41.4juta kepada Jabatan Pertanian bagi melaksanakan projek-projek di bawah program pembangunan sokongan tanaman, ternakan dan akuakultur.
Manakala kerajaan persekutuan menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani secara dasarnya telah meluluskan peruntukan RM112.3 juta untuk Sarawak.
Jabu yang berkata demikian menambah, daripada jumlah itu RM6.9 juta adalah untuk program pertanian dan akuakultur, RM5.4 juta untuk program ternakan dan veterinar, RM20 juta untuk pembangunan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) padi, dan RM70 juta untuk pembangunan NKEA getah.
“Sebagai tambahan peruntukan Kementerian Pertanian persekutuan, kita juga menerima RM12.38 juta daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bagi penyelenggaraan projek penanaman getah di bawah RMK-9 dan projek Pusat Pemprosesan Kumpulan selain menaik taraf jalan ladang,” katanya.