KUCHING: Sarawak berhadapan kekurangan tenaga perubatan yang sangat ketara meskipun terdapat banyak kekosongan jawatan yang perlu diisi.
Menurut Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat Dato Sri Wong Soon Koh, kekosongan adalah membabitkan pakar perubatan (245 jawatan) dan pegawai perubatan (1,178 jawatan).
Bagaimanapun, katanya dalam tempoh suku pertama tahun ini, hanya 218 kekosongan diisi bagi pakar perubatan dan 754 kekosongan diisi bagi pegawai perubatan.
“Namun demikian, kami akan terus memohon kepada Kementerian Kesihatan untuk menghantar lebih ramai kakitangan perubatan bagi mengisi kekosongan di Sarawak,” katanya dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, semalam.
Akan tetapi, Wong menjelaskan bahawa Sarawak seharusnya boleh dibanggakan kerana telah menyediakan perkhidmatan kesihatan yang baik kepada rakyat di segenap bahagian.
“Kita berterima kasih kepada kerajaan pusat kerana memperuntukkan lebih RM1 bilion untuk membolehkan kita menjalankan perkhidmatan kesihatan yang meluas dan menyeluruh di seluruh negeri,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Jabatan Kesihatan Negeri juga akan terus menyedia serta memperluaskan perkhidmatan perubatan dan kesihatan seperti program kesihatan awam, perkhidmatan farmasi, perkhidmatan doktor bergerak, bot klinik bergerak 1Malaysia dan banyak lagi.
“Kami akan turut memantau kawasan manakah yang memerlukan peningkatan perkhidmatan kesihatan atau membina klinik baharu untuk manfaat rakyat.
“Malah, kami juga akan terus memohon lebih banyak peruntukan daripada kerajaan pusat untuk membantu meningkatkan perkhidmatan kesihatan terutama di kawasan luar bandar,” katanya.