
REMUK: Kereta Proton Wira remuk selepas kemalangan yang berlaku di persimpangan Lampu Isyarat di Lorong Sungai 2C pagi semalam.
SIBU: Seorang lelaki berusia 27 tahun cedera di muka dan kepala selepas kereta yang dipandunya dirempuh sebuah kereta Perodua Viva di persimpangan lampu isyarat di Lorong Sungai Merah dekat sini pagi semalam.
Dalam kejadian pada jam 11.30 pagi itu, mangsa yang memandu sebuah kereta Proton Wira dikatakan sedang membelok ke Lorong Sungai Merah 2C apabila kemalangan itu berlaku.
Menurut seorang sumber, sebuah kereta Perodua Viva yang datang dari arah bertentangan tiba-tiba merempuh kereta Proton Wira yang sedang membelok ke kiri di persimpangan lampu isyarat tersebut.
Akibat perlanggaran itu, kereta Proton Wira tersebut remuk teruk di bahagian sebelah kiri manakala Perodua Viva tersebut remuk di bahagian hadapannya.
Pemandu Viva yang berumur 32 tahun terbabit hanya mengalami terseliuh di lengan.
Menurut dua kenalan mangsa, pemandu Proton Wira tersebut yang bekerja di Papua New Guinea sedang dalam perjalanan untuk berjumpa dengan mereka di sebuah kedai kopi berhampiran.
Difahamkan kereta Proton Wira tersebut bergerak mengekori sebuah lori yang juga membelok ke arah yang sama.
Polis turut berada di tempat kejadian untuk menjalankan siasatan.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang lelaki kacukan Iban-Cina putus cuping telinga kirinya selepas terbabit dalam kemalangan di bulatan Jalan Airport lama berhampiran Kolej Laila Taib petang kelmarin.
Dalam kejadian pada jam 3.00 petang itu, mangsa yang dikenali sebagai Denis Wong, 26, dari Selangau dikatakan melanggar sebuah lori yang berada di hadapannya.
Ambulans yang dihubungi oleh orang awam tiba di lokasi kejadian bersama paramedik yang bergegas memberi rawatan kecemasan terhadap mangsa.
Setelah diperiksa, mangsa juga mengalami patah tulang bahu kirinya, kemudiannya digegaskan ke Unit Kecemasan dan Trauma Hospital Sibu pada jam 4.00 petang.
Keadaan mangsa dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan di wad.