SIBU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengguna (KPDNKK) telah merampas 16,322 keping cakera padat video (VCD) dan cakera padat digital (DVD) cetak rompak sepanjang 2014.
Ketua KPDNKK cawangan Sibu, Kasim Mana berkata, hasil rampasan daripada 11 kes itu melibatkan nilai sebanyak RM58,122.
“Memiliki barang cetak rompak satu kesalahan di bawah Akta Hak Cipta 1987. Individu terlibat boleh dikenakan penalti sehingga RM2,000 bagi satu salinan cakera cetak rompak,” ujarnya.
Menurut Kasim, bagaimanapun belum ada rampasan VCD dan DVD cetak rompak dilakukan pada tahun ini.
Beliau memberitahu, kementerian sentiasa menyokong tindakan supaya orang awam agar tidak membeli cakera padat, VCD atau DVD cetak rompak.
Pengarah Urusan Hua Hua Entertainment Production (HHEP) Robert Teh sebelum ini menggesa orang awam agar tidak membeli CD atau DVD cetak rompak album Tahun Baharu Cina keluaran syarikat.
Bercakap kepada pemberita baru-baru ini, Teh berkata CD atau DVD cetak rompak mungkin lebih murah, namun kualitinya tidak sebaik cakera asli.
Beliau juga memberitahu, industri muzik tempatan terjejas teruk akibat kegiatan cetak rompak ini.