Terdapat keperluan menyegerakan projek berdasarkan banjir di Sarawak
Oleh Rintos Mail //
KUCHING: Lima projek mitigasi banjir akan diberi keutamaan di Sarawak tahun ini, kata Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr James Dawos Mamit.
Lima projek itu me- libatkan Sungai Limbang, Sungai Betong, Sungai Sibiu di Bintulu, Sungai Sapug di Padawan dan Sungai Sering di Maang, Jalan Kuching-Serian.
Menurut Dawos, berdasarkan kepada banjir baru-baru ini, terdapat keperluan untuk kerja-kerja pelaksanaan projek tersebut disegerakan terutama di lima kawasan berkenaan.
“Cadangan projek di Su-ngai Limbang dianggarkan menelan kos RM10 juta, Sungai Sibiu (RM2 juta), Sungai Betong (RM8.2 juta), Sungai Sapug (RM5.1 juta) dan Sungai Sering (RM4.4 juta).
“Setakat ini, sejumlah RM17.5 juta telah diperuntukkan untuk Sarawak di bawah Bajet 2015.
“Ini bermakna, saya perlu memohon untuk dana kecemasan daripada kerajaan pusat bagi melaksanakan semua projek ini tahun ini dengan kos kira-kira RM29.7 juta,” katanya.
Tambah Dawos, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini telah mengumumkan dana kecemasan bagi projek-projek mitigasi banjir.
Susulan pengumuman itu, katanya, beliau akan meminta sejumlah dana untuk melaksanakan projek-projek utama di Sarawak.
Dalam pada itu, Najib pada 20 Januari lepas mengumumkan peruntukan RM893 juta dalam semakan semula Bajet 2015 bagi projek-projek mitigasi banjir berikutan banjir besar melanda beberapa buah negeri terutama di kawasan pantai timur Semenanjung Malaysia baru-baru ini.
“Projek-projek mitigasi banjir yang diutama di Sarawak di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 adalah di Sibu, Bintulu dan Kuching.
“Projek di Sibu yang telah memasuki fasa ketiga kini menelan kos kira-kira RM450 juta manakala satu lagi projek di Bintulu menelan kos RM100 juta.
“Projek mitigasi banjir di Kuching iaitu saluran lencongan sepanjang lapan kilometer (km), 120 meter keluasan dan 12 meter kedalaman pula bernilai RM1.5 bilion,” katanya.
Sebaik siap dilaksanakan, lebihan air dari Sungai Sarawak (antara baraj di Sejingkat dan Batu Kitang) akan disalur keluar ke Kampung Paroh ke Telaga Air.