ALOR SETAR: Seorang lelaki cedera di perut akibat terkena tembakan yang dilepaskan oleh anggota polis ketika cuba menyeranganggota itu menggunakan pedang samurai dalam kejadian di Sungai Tiang, Pendangkelmarin.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah ACP Mohd Nashir Ya, lelaki terbabit antara tiga suspek pengedar dadah yang diberkas oleh polis dalam operasi jam 11.15 malam di sebuah rumah di kampung itu.
“Ketika sepasukan polis tiba di rumah berkenaan, ketiga-tiga suspek berusia antara 17 dan 28 tahun berkenaan ada di dalam rumah namun mereka cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis.
“Dua daripadanya berjaya diberkas, manakala seorang lagi meloloskan diri menerusi tingkap dan anggota polis bertindak mengejarnya sebelum suspek cubamenyerang anggota polis terbabit dengan melibas dua bilah pedang samurai,”katanya dalam sidang media, di sini semalam.
Nashir berkata bagi mempertahankan dirinya, anggota terbabit terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah suspek yang mengenai perut lelaki itu.
Sementara itu katanya, pemeriksaan polis di dalam rumah berkenaan menemukan dadah jenis heroin seberat 200 gram serta sebuah motosikal yang dilapor hilangdi Selangor. — Bernama