KUCHING: Menteri Muda Kesihatan Datuk Dr Jerip Susil memberitahu bahawa beliau akan melihat daripada pelbagai aspek situasi pencerobohan Gunung Serumbu seperti didakwa penduduk setempat sebelum mengambil sebarang tindakan.
Bercakap kepada pemberita di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam, Dr Jerip berkata beliau sedia maklum perkara itu dan berasa gembira kepada penduduk di situ yang tahu hak-hak mereka.
Bagaimanapun ujarnya, masih terlalu awal untuknya membuat sebarang keputusan kerana perlu melihat dan mengetahui situasi tersebut secara menyeluruh.
“Saya pada hakikatnya gembira kerana penduduk di sini bangkit memprotes bagi mempertahankan hak mereka.
“Sekurang-kurangnya mereka faham, tiada siapa boleh merampas hak mereka begitu sahaja.
“Saya percaya mesti tidak ada dialog atau rundingan dengan syarikat terbabit sebab itu timbul salah faham.
“Mereka juga tidak diberitahu (mengenai perkara ini)… penduduk kampung ada hak untuk memprotes,” katanya.
Dr Jerip yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bengoh berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan penduduk kampung berkenaan mahu beliau campur tangan menyelesaikan masalah dihadapi mereka.
Ahad lepas penduduk setempat terdiri daripada Bidayuh, Cina dan Melayu melakukan protes aman membantah tindakan sebuah syarikat tempatan yang mengeluarkan batu dari Gunung Serumbu Bau.
Menurut penduduk kampung, Kajian Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dikemukakan tidak lengkap namun lesen kuari tetap diberikan kepada syarikat berkenaan.
Namun bagi mereka kesahihan laporan itu bukan ukuran untuk memprotes sebaliknya sebarang kegiatan memusnahkan gunung yang kaya dengan nilai warisan itu pasti akan ditentang sekeras-kerasnya.
Menurut wakil mereka Stephen Sinyum Mutit isu itu bukan perkara baharu kerana ia telah berlarutan sejak 1997.
Sehubungan itu katanya, beberapa surat bantahan telah diajukan kepada semua pihak berkuasa tempatan termasuk wakil rakyat kawasan berkenaan tetapi sehingga kini, tiada tindakan sewajarnya diambil.
Sebaliknya kata Stephen syarikat berkenaan mula membina jalan menuju ke tapak kuari sejak dua bulan lepas yang melalui tanah-tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) penduduk Bidayuh di situ.
“Kawasan pergunungan itu telah diterokai nenek moyang kami sebelum era Brooke iaitu lebih 200 tahun lalu.
“Oleh itu kami mempunyai hak ke atas tanah di kawasan pergunungan tersebut,” katanya.