
PERUNTUKAN: Entulu (tiga kanan) menyampaikan cek bernilai RM10,000 kepada John Sikie disaksikan Jiram (dari kiri) Peter Runin, Meran dan Spencer.
Ahli PBTM diingatkan agar tidak adakan kutipan derma daripada orang awam secara terbuka KUCHING: Ahli-ahli Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) di negeri ini diingatkan agar tidak menyalahgunakan Kempen Tabung Pahlawan dengan mengadakan kutipan derma atau sumbangan daripada orang awam secara terbuka.
Ini kerana menurut Yang Dipertua PBTM Sarawak Spencer Birai, kutipan bagi Kempen Tabung Pahlawan perlu disertakan permit atau dokumen yang sah daripada pihak berkuasa sebagai bukti kutipan yang dibuat adalah bagi tujuan yang dinyatakan.
“Baru-baru ini saya dimaklumkan berlakunya sesuatu yang kurang menyenangkan di Selangau di mana terdapat ahli-ahli kita yang mengadakan kutipan sumbangan daripada orang awam secara terbuka.
“Ini bukan cara yang betul dan saya berharap agar anda semua akan lebih berhati-hati ketika menjalankan kutipan sumbangan bagi Kempen Tabung Pahlawan demi menjaga nama baik persatuan serta angkatan tentera sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Amal Kempen Tabung Pahlawan anjuran PBTM Cawangan Batu Kawa serta Ulang Tahun Ke-10 PBTM cawangan berkenaan di salah sebuah restoran di sini Ahad lalu.
Majlis tersebut telah dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun merangkap Ahli Parlimen Selangau dan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Adat Bumiputera dan Penan) merangkap Penaung PBTM Cawangan Batu Kawa Datuk John Sikei Tayai.
Turut hadir, Penasihat PBTM Sarawak Mejar (B) Peter Runin, Ketua Cawangan PBTM Batu Kawa Kapten (B) Meran Ubong, Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Lo Khere Chiang dan pengerusi pengelola Jiram Sampek.
Mengulas mengenai majlis itu, Entulu berkata ia amat bermakna kepada semua yang hadir termasuk masyarakat di luar sana kerana rakyat sedia maklum bahawa anggota tentera merupakan tulang belakang kepada negara.
Sebab itu beliau menyokong penuh pengiktirafan yang diberikan oleh kerajaan kepada anggota-anggota dan bekas-bekas tentera yang sedang dan pernah berkhidmat kepada negara sebelum atau selepas merdeka.
Malangnya menurut Entulu, terdapat segelintir pihak atau individu yang memperkecilkan anggota-anggota tentera negara dan lebih menyedihkan apabila ada kalangan mereka yang memberi sokongan kepada musuh negara.
Sebagai tanda sokongan dan bagi membantu bekas-bekas tentera, Entulu dan John Sikie masing-masing memperuntukkan sejumlah RM10,000 kepada PBTM Cawangan Batu Kawa bagi Kempen Tabung Pahlawan.
Pada majlis itu, Entulu turut menyampaikan sumbangan kepada 13 orang penerima terdiri daripada orang kurang upaya (OKU), individu sakit, mangsa bencana alam, balu anggota tentera serta warga emas.